AM

SATU RANCANG TAMBAH LOJI RAWATAN AIR DI TERENGGANU

23/07/2024 07:28 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) bakal membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu bagi menambah baik perkhidmatan bekalan air dengan pembinaan dijangka bermula sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia termasuk perancangan untuk menyelesaikan isu bekalan air di kawasan pulau di Terengganu.

"Akan ada penambahan LRA tapi lokasinya saya masih belum boleh beritahu. Buat masa ini kita di peringkat akhir untuk tentukan spesifikasi (LRA).

"Kalau tidak sempat tahun ini, pembinaan akan bermula awal tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan 25 Tahun Jubli Perak SATU di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata perancangan penambahan LRA itu merupakan strategi pihaknya untuk menjamin sambungan bekalan air dari daerah ke daerah sekiranya berlaku gangguan bekalan kelak.

"Walaupun SATU ada 25 peratus margin simpanan air iaitu melebihi 15 peratus yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), kita masih ada kekangan sekiranya berlaku gangguan yang kita perlukan sokongan daripada daerah lain.

"Jadi, kita kena ada ketersambungan antara daerah dan itu yang kita rancang untuk buat. Dalam perancangan itu, kita perlukan satu LRA yang baharu untuk memastikan keselesaan (perkhidmatan air) berterusan," katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sukar untuk meramal adakah Terengganu tidak akan berdepan krisis air pada masa hadapan ekoran ketidaktentuan perubahan iklim ketika ini meskipun 25 peratus margin simpanan air berada pada zon selesa.

“Kita tidak boleh nafikan sekarang dengan adanya cabaran perubahan iklim yang kita tidak tahu...taburan hujan pun bertukar dan hujan lebat di bukan tempat yang biasa, jadi kita tidak boleh jangka krisis air pada masa akan datang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan