AM

PELAJAR SEKOLAH MAMPU JADI EJEN DAN WAR NEGARA - SPRM

23/07/2024 08:56 PM

IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyeru pelajar sekolah menjadi ejen atau Wira Anti Rasuah (WAR) bagi memastikan diri mereka dan orang sekeliling tidak terlibat dengan rasuah.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Nazli Rasyid Sulong berkata pendidikan adalah alat yang paling berkuasa untuk memerangi rasuah.

"Rasuah adalah satu ancaman yang merosakkan integriti, membantutkan pembangunan, dan mencemarkan nama baik negara.

“Usaha memerangi rasuah haruslah dimulakan dari peringkat akar umbi iaitu di kalangan generasi muda,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program WAR di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Lenggong, dekat sini. 

Beliau berkata program WAR yang dijalankan adalah selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang diluncurkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Mei lepas dengan sektor pendidikan diberi penekanan sebagai salah satu strategi utama dalam membanteras rasuah di Malaysia.

Turut hadir Timbalan Ketua Unit Integriti Majlis Amanah Rakyat (MARA) Ahmad Sofi Abdullah dan Timbalan Pengetua Kecemerlangan Akademik MRSM Lenggong Zurina Sukadis.

Seramai 598 pelajar MRSM Lenggong menjayakan Program WAR iaitu anjuran bersama Unit Integriti MARA bersama Cawangan Pendidikan, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM. 

MRSM Lenggong merupakan MRSM ke-28 dalam siri Jelajah WAR SPRM dan diharapkan kesemua 57 MRSM akan terlibat dalam program ini tidak lama lagi.

Program berkenaan merupakan suatu inisiatif penting MARA dan SPRM mendekati generasi muda dalam usaha membanteras rasuah dari bangku persekolahan. 

Program WAR merupakan idea SPRM bermula sejak tahun 2014 bertujuan mendidik pelajar mengenai bahaya rasuah serta memupuk nilai integriti dalam kehidupan seharian mereka.

 Sehingga kini, program itu telah dijalankan di 174 sekolah dan melibatkan hampir 32,000 murid serta lebih 4,000 guru di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan