AM

PERANTIS IWK: INISIATIF BAGI PERKASA BELIA KE ARAH KEMAMPANAN ALAM SEKITAR

23/07/2024 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menjalankan  program Perantis IWK, satu program khusus buat graduan baharu dan siswazah tahun akhir yang berminat dengan kelestarian alam sekitar serta pembangunan insaniah.

Dengan kerjasama NK Communications PLT, program itu bertujuan memperkasakan golongan belia dan mendorong mereka ke arah kemampanan alam sekitar dengan menyediakan kemahiran insaniah dan nilai-nilai kepimpinan, di samping belajar untuk mencipta kempen media sosial yang menjadi antara komponen komunikasi penting dalam kerjaya.

IWK dalam kenyataan hari ini memaklumkan program lima hari itu dikendalikan Pengarah NK Communications yang juga juruhebah radio dan hos televisyen Natalie Kniese bersama jurulatih bertauliah Dana Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) yang juga perunding imej profesional bertauliah Lalitha Muthusamy, menggabungkan aspek teori, praktikal, kemahiran kerja berkumpulan dan latihan fizikal.

“Kesemua peserta telah melalui pembelajaran teori dalam bilik darjah dan juga penerapan aspek praktikal bagi memahami proses rawatan kumbahan.

“Kesemua peserta Perantis IWK bukan sahaja melalui latihan yang disediakan tetapi juga mereka telah bersaing untuk merebut tiga hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM1,000 seorang dan peluang pekerjaan atau latihan industri di IWK,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam dalam ucapan pada majlis penyampaian hadiah bagi peserta terbaik program Perintis IWK berkata program itu bukan sahaja untuk meraikan tiga dekad perkhidmatan IWK, tetapi bermatlamat untuk membangunkan modal insan di samping memupuk minat dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata program Perantis IWK merupakan salah satu cabang inspirasi daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK yang digelar IWK Cares, bertumpu kepada tiga tonggak utama iaitu alam sekitar, komuniti dan pendidikan.

“Kami percaya program Perantis IWK dapat membantu memperkasakan golongan muda serta memberi peluang kepada mereka untuk bersedia dalam menghadapi alam pekerjaan. Saya berbangga dengan komitmen dan usaha yang ditunjukkan semua peserta,” katanya.

Kumpulan terbaik bagi Perantis IWK dimenangi Purrfect Duo yang dianggotai Lew Bay Sin dan Naida Sofea Mohd Noorhazli, manakala Networker Terbaik dimenangi Irwan Ibrahim dan kumpulan IWK Youth, terdiri daripada Eng Jin Cherng, Irwan Ibrahim dan Alia Nurmaisarah Hairil Anuar memenangi aktiviti Cabaran Fizikal.

Sementara itu, Lew dan Naida Sofea berkata menerusi latihan serta kemahiran yang telah dijalankan, program berkenaan telah memberikan pengalaman baharu kepada semua peserta.

“Bukan sahaja kami dapat menimba banyak pengetahuan mengenai sistem pembetungan, tetapi program ini telah dijalankan secara percuma.

“Kami merasa amat bertuah kerana mendapat peluang sebegini dan saya amat berharap agar pihak IWK dapat meneruskan Perantis IWK lagi bagi tahun akan datang agar lebih ramai generasi muda mendapat manfaatnya,” kata mereka. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan