SUKAN

RAKYAT MALAYSIA BERKOBAR-KOBAR MENANTIKAN OLIMPIK PARIS -IPSOS

23/07/2024 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Satu kajian yang diadakan baru-baru ini mendapati bahawa terdapat keterujaan yang luar biasa dalam kalangan rakyat Malaysia untuk mengikuti perkembangan Sukan Olimpik Paris 2024.

Ipsos dalam satu kenyataan memaklumkan hasil kajian itu berdasarkan kepada kaji selidik secara bersemuka dengan 500 orang dewasa 18 tahun ke atas dan juga secara dalam talian terhadap 24,531 orang dewasa di bawah umur 75 tahun, di 33 buah negara dari 24 Mei hingga 7 Jun 2024.

Dalam kenyataan medianya Pengarah Urusan Ipsos Malaysia Arun Menon berkata 73 peratus daripada rakyat Malaysia, percaya Sukan Olimpik Paris perlu terus diadakan tanpa mengira keadaan ekonomi dunia dan konflik yang berlaku.

“Dua daripada tiga rakyat Malaysia yang ditemui memaklumkan mereka berminat dengan sukan itu, iaitu satu angka yang 57 peratus lebih tinggi daripada dapatan kajian di negara-negara lain.

“Bagi rakyat Malaysia, Sukan Olimpik Paris bukan hanya satu acara sukan. Lapan daripada 10 rakyat Malaysia, melihatnya sebagai sesuatu untuk mewujudkan perpaduan, kemegahan dan inspirasi untuk generasi akan datang melibatkan diri dalam sukan,” katanya.

Arun berkata Sukan Paris mempunyai kesan positif dan penyatuan dalam kalangan rakyat Malaysia dan keterujaan rakyat  negara ini terhadap temasya itu amat tinggi.

“Oleh itu, Sukan Olimpik Paris tidak seharusnya terhenti akibat peperangan dan konflik yang sedang berlaku,” katanya.

Arun berkata kajian juga mendapati badminton menjadi sukan yang paling dinantikan rakyat Malaysia, dengan 58 peratus menyatakan minat yang tinggi, mengatasi purata global 28 peratus.

Selain itu, bola sepak juga berada pada kedudukan tinggi, dengan 35 peratus rakyat Malaysia menunjukkan minat, berbanding purata 28 peratus di seluruh negara lain.

Sukan Olimpik Paris 2024, yang dijadualkan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos, akan menjadi Sukan Olimpik pertama sejak pandemik COVID-19.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan