AM

PENSTRIMAN LANGSUNG, VIDEO JADI PILIHAN PEMBELI BANTU PACU PMKS

23/07/2024 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Landskap perdagangan digital menerusi penstriman langsung dan pembelian dari hantaran video yang sedang berkembang menyebabkan perubahan besar dalam tingkah laku pembelian pelanggan terutama Generasi Z (Gen Z).

Platform e-dagang terkemuka, Shopee menerusi satu kenyataan memaklumkan interaktiviti yang menjadi pilihan utama pelanggan juga berjaya memacu kejayaan Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederahana (PMKS).

Kajian terkini Shoppe bertajuk ‘Masa Hadapan Membeli-belah: Menawan Pembeli-belah Generasi Z di Era Digital mendapati hampir 70 peratus golongan Gen Z di Asia Tenggara menganggap platform e-dagang sebagai titik permulaan untuk perjalanan membeli-belah mereka.

“Penstriman langsung menawarkan titik sentuhan ideal untuk pembeli yang membolehkan penjual menerangkan secara mendalam tentang fungsi produk sambil menjawab soalan pembeli secara langsung," kata kenyataan itu di sini hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia Ming Kit Tan berkata walaupun penstriman langsung dan video berfungsi sebagai alat yang kuat untuk PMKS meningkatkan keterlihatan dan mengukuhkan penglibatan pembeli, namun platform ekosistem yang kukuh penting untuk memastikan kejayaan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau berkata Shopee Live dan Shopee Video diperkenal untuk membantu memperkuatkan strategi e-dagang usahawan PMKS, mentransformasikan senarai produk kepada pengalaman dinamik yang membina hubungan tulen dan menonjolkan jenama mereka.

"Peranan kami bukan sahaja untuk membantu penjual melakukan strim langsung secara efektif, kami memahami impak penting alat perniagaan ini, tetapi apa yang lebih penting ialah kami menawarkan sokongan perniagaan secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata sebagai respons kepada perubahan tingkah laku membeli-belah yang berkembang dan menyedari peluang PMKS untuk memacu pertumbuhan, Shopee baru-baru ini telah memperkenalkan beberapa program baharu untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah rakyat Malaysia.

“Program baharu berkenaan adalah penghantaran segera, penghantaran hari berikutnya serta jaminan tepat waktu yang menawarkan baucar RM5 kepada pelanggan jika pesanan tiba lewat,” kata Ming.

Sementara itu, pemilik Kedai Abang Syukor, Syukor Majid berkongsi bahawa beliau mencatatkan tempoh penstriman langsung selama 155 jam seminggu selain menjana keuntungan RM1 juta dalam tempoh tiga bulan pertama di Shopee Live.

"Menggunakan strategi penstriman langsung 24 jam membolehkan kami berhubung dengan pelanggan pada bila-bila masa dan jangkauan luas Shopee serta interaksi antara muka mesra pengguna, kami berjaya mempertingkatkan keterlihatan dan jualan produk sambal kami," katanya dalam kenyataan sama.

Syukor berkata pihaknya yang memasuki dunia perniagaan dalam talian pada tahun 2015 berjaya menjual lebih 60,000 pek daging dendeng sedia untuk dinikmati semasa Hari Raya Aidilfitri atas sokongan 300,000 pengikut setia Shopee. 

Seorang usahawan fesyen dari Terengganu, Bella Hazaha pula berkata Shopee Live membolehkannya berhubung terus dengan pelanggan dan strim langsung mampu mengubah cara pelanggan melihat jenama. 

"Pengiklanan bersasar di media sosial sudah tidak berkesan. Shopee Live membolehkan penonton melihat bagaimana pakaian tidur bertukar kepada pakaian harian bergaya, bertanya soalan secara langsung dan menikmati proses membeli serta pembayaran dengan lancar," katanya. 

Bagi pengasas Kedai Elektronik Kecil Lee Chin Sun, beliau berjaya menempa kejayaan menerusi Shopee Live melalui akaun Allblue5367 apabila perjalanan e-dagangnya meningkat sebanyak 900 peratus berbanding tahun 2020 selain berjaya memperluaskan gudangnya kepada 33,000 kaki persegi.

Menerusi penstriman langsung, Lee menjadikannya menarik dengan menunjukkan demonstrasi produk, membawa penonton melihat dengan tepat bagaimana alatannya berfungsi dan menjawab soalan secara langsung. 

“Penstriman langsung adalah alatan hebat untuk penglibatan pelanggan secara langsung, sementara Shopee Video akan melengkapinya dengan membolehkan kami mencipta video produk yang informatif berdurasi pendek dan pelanggan boleh menemuinya dengan mudah,” kata Lee.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan