AM

KERAJAAN PERLU SELIA OPERASI, ASET DAN PERJAWATAN AGENSI PENGUATKUASAAN DI SEMPADAN

23/07/2024 10:27 PM

TUMPAT, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi perhatian mengenai penyeliaan operasi, aset dan perjawatan berkaitan pengurusan agensi penguatkuasaan di sempadan perairan Malaysia-Thailand, di Kelantan.

Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata perkara tersebut, perlu ditambah baik supaya dapat meningkatkan kualiti kecekapan di kawasan pintu masuk utama negara ini.

“Sebagai contoh dari segi aset amatlah kurang, kerana terdapat aset yang telah berusia dan ia perlu ditambah baik dari semasa ke semasa, serta memerlukan peruntukan besar.

“Dalam hal ini, kerajaan mungkin boleh memberi keutamaan kepada penambahan aset, kerana perkara itu dibangkitkan oleh pihak berkuasa yang bertugas di sempadan negara,” katanya selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Selain itu, Ismail berkata prosedur kerja juga perlu ditambah baik, dalam usaha mengekang gejala rasuah dalam kalangan pihak berkuasa di sempadan perairan negara.

Beliau berkata EAIC akan lebih giat menjalankan pengauditan dan pemeriksaan ke atas tatacara kerja dan prosedur operasi standard agensi.

Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat bersama agensi penguatkuasaan yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, bagi membincangkan isu persempadanan yang dihadapi agensi penguatkuasaan serta permasalahan anggota penguat kuasa dalam menjalankan tugas kawalan di pintu masuk negara.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan