AM

KPDN SERBU STOR HARAM LPG BERSUBSIDI DI PORT DICKSON

24/07/2024 09:23 PM

SEREMBAN, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melalui Op Tiris merampas sejumlah 515 tong gas petrolium cecair (LPG) iaitu barang kawalan bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM59,194.80 di sebuah premis di Port Dickson semalam.

Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata pihaknya turut menyita dua buah lori, 30 hos, alat timbang elektronik, dua tong ais dan 10 plastik ais, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM109,084.

"Hasil risikan mengesan aktiviti penyelewengan atau proses penyiringan LPG. Semasa serbuan dijalankan, tiada pihak yang bertanggungjawab ditemui di premis tersebut.

"Kesemua barangan disita kerana berurusan dengan barang kawalan tanpa lesen atau permit yang sah," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan