AM

MOTOSIKAL BERGESEL, DUA REMAJA MAUT

25/07/2024 04:26 PM

KOTA BHARU, 25 Julai (Bernama) -- Dua remaja maut selepas terbabit dalam nahas jalan raya  membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata mangsa yang maut dikenali sebagai  Muhammad Shahrul Huzaimi Mohd Azman dan Muhammad Aliff Haikal Abd Rahman, kedua-dua berusia 17 tahun.

Beliau berkata seorang lagi mangsa berusia 19 tahun masih menerima rawatan di Hospital Pasir Mas.

"Nahas berlaku di hadapan halal hab di Jalan Pasir Mas-Rantau Panjang melibatkan tiga penunggang motosikal.

"Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas dan kemalangan berlaku selepas motosikal mereka bergesel sesama sendiri,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Pasir Mas di talian 09-7900280.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan