AM

PASTIKAN SYARIKAT TAWAR KHIDMAT ATASI GANGGUAN IT GLOBAL ADALAH SAH, LAYAK - GOBIND

25/07/2024 05:55 PM

ISKANDAR PUTERI, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Digital menasihati mana-mana pihak di negara ini yang ingin mendapatkan khidmat dan bantuan dalam bidang teknologi maklumat  (IT) susulan gangguan IT global perlu memastikan terlebih syarikat tersebut sah serta berkelayakan.

Menteri Digital Gobind Sing Deo berkata kementerian itu mengesan beberapa pihak tidak bertanggungjawab ‘mencipta’ domain (laman sesawang) bagi mendapatkan maklumat yang kemudian disalah guna.

Beliau berkata Kementerian Digital melalui Agensi Keselamatan Siber Malaysia (NACSA) dan Cyber Security Malaysia (CSM) telah melihat secara teliti perkara itu dan berharap agar rakyat serta syarikat lebih prihatin dengan masalah serangan IT dan kewujudan pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kalau ada pihak yang menyatakan mereka boleh membantu dan menyelesaikannya, kita kena pastikan mereka adalah pakar dan sah, jika tidak kita membuka ruang untuk data kita untuk disalah guna.

“Pada masa sama, pihak kementerian akan pastikan langkah mengatasi diperkukuh… kita serius dan kelemahan akan diperbaiki serta mengikuti perkembangan berkaitan IT dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Data TM dan Singtel Nxera di Iskandar Puteri EduCity hari ini.

Hadir sama Menteri Kanan Singapura bagi Perdagangan dan Industri Low Yen Ling yang juga Menteri Kebudayaan, Komuniti dan Belia serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor Lee Ting Han.

Gobind juga berkata pihaknya mengesahkan insiden minggu lepas sebenarnya bukanlah serangan IT tetapi lebih kepada kemas kini sistem dan orang ramai tidak perlu bimbang sekali gus tiada ketirisan data.

Menyentuh mengenai majlis hari ini, beliau berkata kerjasama dua syarikat gergasi telekomunikasi Malaysia dan Singapura itu mampu meningkatkan status Malaysia sebagai hab digital di Asia Tenggara sekali gus membuka potensi sebagai pusat pelaburan global.

Beliau berkata berdasarkan anggaran awal, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.8 peratus pada suku kedua 2024 dan pelaburan itu sejajar dengan unjuran bahawa ekonomi digital akan menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang akhir tahun.

“Pembukaan pusat data ini juga sangat penting kerana kita sedang bergerak menuju tahun 2025 dan Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat ASEAN... kita juga nak tonjolkan bahawa Malaysia mampu menjadi satu destinasi pelaburan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan