EKONOMI

UNTUNG BERSIH NESTLE MALAYSIA SUSUT KEPADA RM93.6 JUTA PADA SUKU KEDUA

25/07/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM93.60 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 daripada RM180.92 juta setahun lalu disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dan kesedaran membuat pilihan berdasarkan harga. 

Pengeluar makanan dan minuman itu berkata ketika keluarga di Malaysia berdepan kenaikan harga makanan dan barangan asas lain, Nestle berusaha untuk mengurangkan kenaikan kos luaran yang dipindahkan kepada harga akhir.

Ia berkata pihaknya akan melakukan pelbagai usaha dan tindakan untuk menyerap sebahagian daripada kos tersebut dan secara aktif mengurangkan tekanan kos.

Sementara itu, hasil bagi suku dalam tinjauan jatuh kepada RM1.52 bilion daripada paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM1.75 bilion pada suku kedua 2023, terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam jualan domestik, kata syarikat itu.

“(Ini mencerminkan) persekitaran semasa sentimen pengguna yang lemah dan kuasa beli yang terhad,” kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi separuh pertama tahun ini, keuntungan bersih Nestle Malaysia menyusut kepada RM289.11 juta berbanding RM378.06 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil turut merosot kepada RM3.31 bilion daripada RM3.59 bilion sebelumnya.

"Ini boleh dikaitkan dengan sentimen pengguna yang lemah dan perbelanjaan berhati-hati semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya," katanya.

Nestle Malaysia mengisytiharkan dividen interim sebanyak 70 sen sesaham bagi tahun berakhir 31 Disember, 2024, yang akan dibayar pada 3 Oktober, 2024 kepada pemegang saham yang namanya tertera dalam rekod pendeposit pada 4 September.

Pada masa hadapan, syarikat itu berkata keadaan mencabar dijangka berterusan sepanjang suku ketiga dan beransur-ansur sederhana menjelang akhir tahun serta kembali kepada pertumbuhan selewat-lewatnya pada separuh pertama 2025.

"Kami akan terus membina kekuatan asas kami untuk terus menyediakan rakyat Malaysia dengan rangkaian produk halal dengan citarasa terbaik dan memenuhi jangkaan kesihatan, pemakanan dan gaya hidup mereka, serta sentiasa berlandaskan kepada asas kualiti dan keselamatan kami," katanya.

Ketika pasaran ditutup hari ini, harga saham Nestle meningkat 20 sen kepada RM122.00 dengan 29,100 saham diurusniagakan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan