AM

TAKUNGAN AIR DI TIGA EMPANGAN MADA PADA TAHAP 47 PERATUS

25/07/2024 09:22 PM

ALOR SETAR, 25 Julai (Bernama) -- Paras takungan air di tiga empangan seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berada pada tahap 47 peratus.

MADA dalam satu kenyataan memaklumkan paras air di Empangan Muda semakin susut apabila mencatatkan takungan air sebanyak 9.96 peratus, manakala Empangan Pedu (43.1 peratus) dan Empangan Ahning (83.07 peratus).

“Fungsi utama empangan MADA adalah untuk menakung air bagi tujuan pengairan tanaman padi dan bekalan air domestik di utara Kedah dan selatan Perlis. Paras takungan pada masa kini disebabkan jumlah hujan yang sangat rendah di kawasan tadahan empangan.

“Bagi tempoh Januari hingga Julai, jumlah hujan sebanyak 812 milimiter (mm) berbanding purata 20 tahun (2004 hingga 2023) iaitu sebanyak 1,085 mm bagi tempoh yang sama,” menurut MADA.

Bagaimanapun, takungan air di ketiga-tiga empangan itu dikategorikan normal dan masih tinggi berbanding rekod terendah pada 1974 hingga 2023 iaitu Empangan Muda sebanyak 2.7 peratus, Empangan Pedu (11.21 peratus) dan Empangan Ahning (27 peratus).

Menurut MADA, pihaknya sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk melaksanakan pembenihan awan di dalam kawasan tadahan empangan.

“Operasi Pembenihan Awan (OPA) ini bergantung kepada faktor atmosfera seperti kelembapan, kumulus dan angin bagi membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,”  menurut kenyataan itu.

Selain itu, MADA akan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula dan juga mengoptimumkan penggunaan air sungai yang mengalir ke terusan MADA.

“Orang ramai tidak perlu panik mengenai berita kedudukan takungan air di Empangan Muda kerana merujuk kepada Tinjauan Cuaca Jangka Panjang bagi Julai hingga Disember ini oleh MET Malaysia, hujan di kawasan MADA akan berada dalam julat purata sepanjang tempoh berkenaan. 

"Takungan semasa di Empangan Pedu masih mampu memenuhi bekalan pengairan bagi menjayakan penanaman padi Musim 1/2024 termasuk permintaan keperluan domestik dan industri di kawasan MADA,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan