AM

PM HULUR SUMBANGAN KEPADA PESAKIT TERLANTAR AKIBAT KEMALANGAN

26/07/2024 12:13 AM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada keluarga Sheikh Abdullah Amirul Sheikh Abu Bakar yang terlibat dalam nahas jalan raya tahun lepas.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Anwar berkata Sheikh Abdullah Amirul kini terlantar di atas katil dan tidak dapat memberikan sebarang tindak balas akibat nahas itu dan beliau dimaklumkan kos rawatan remaja tersebut mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Lebih memburukkan keadaan apabila bapanya, Sheikh Abu Bakar pula diberhentikan kerja sekali gus menjejaskan keadaan kewangan seluruh keluarga.

“Saya amat terkesan dengan situasi yang menimpa keluarga ini. Mendoakan kesembuhan berkekalan buat adik Sheikh Abdullah Amirul. Semoga Allah SWT memudahkan urusan dan mengurniakan kekuatan buat keluarga ini mendepani ujian, insya-Allah,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata sumbangan itu, yang bertujuan membantu meringankan kos perubatan dan kehidupan seharian keluarga tersebut, telah disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Ahmad Farhan Fauzi yang mewakili beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan