AM

KERAJAAN PERKENAL CRESS BERMULA SEPTEMBER, TINGKAT AKSES ELEKTRIK HIJAU UNTUK SYARIKAT

26/07/2024 10:35 AM

PUTRAJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) bermula September ini untuk meningkatkan akses syarikat korporat kepada bekalan elektrik hijau.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan melalui konsep akses grid terbuka, pihak ketiga (TPA) boleh membekal (menjual) atau mendapat (membeli) bekalan elektrik melalui sistem rangkaian grid dengan caj akses sistem yang ditetapkan. 

Pengenalan program CRESS ini ialah sebahagian daripada usaha PETRA di bawah Inisiatif GREENS MADANI atau Government Renewable Energy Enhancement for Niche Sector bertujuan menyokong hasrat peralihan tenaga sektor berkeutamaan tinggi.

“Syarikat korporat di Malaysia perlu diberi pilihan untuk mengurangkan jejak karbon melalui bekalan elektrik hijau. 

“Buat masa ini, syarikat boleh memenuhi komitmen elektrik hijau dengan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) melalui Program Net Energy Metering (NEM) dan Self Consumption (SelCo), membeli sijil Tenaga Boleh Baharu (TBB) melalui Malaysia Green Attributes Trading System (mGATS) atau melanggan Tarif Elektrik Hijau (GET),” menurut kementerian itu.

Pada 31 Ogos 2022, kerajaan juga telah memperkenalkan Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) untuk membantu syarikat mencapai komitmen ESG melalui pembelian elektrik hijau secara maya.

Di bawah program CRESS, penjana TBB dan syarikat korporat yang layak boleh membuat aturan bekalan elektrik hijau dengan terma yang dipersetujui melalui sistem bekalan sedia ada. 

Syarikat korporat boleh mendapatkan elektrik TBB secara langsung daripada penjana TBB TPA yang dikenal pasti dan penjana TBB TPA juga boleh membekalkan elektrik TBB kepada pengguna korporat melalui rangkaian grid TNB dengan menyertai pasaran NEDA.

PETRA memberitahu pelaksanaan CRESS akan dikawal selia oleh Suruhanjaya Tenaga melalui Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), manakala Single Buyer (SB) dan Grid System Operator (GSO) akan berperanan sebagai pengendali pasaran dan sistem.

“Kedua-dua entiti ini akan mengendalikan aspek penyelarasan access and dispatch dalam sistem bekalan elektrik berdasarkan ketetapan regulatori yang dipersetujui kerajaan. 

“TNB pula akan terus memainkan peranan sebagai pembekal elektrik utiliti yang akan menyalurkan bekalan elektrik yang telah dijana dan diperlukan kepada pengguna secara konsisten di dalam dan di luar tempoh waktu pembekalan elektrik hijau,” menurut kenyataan itu.

Beberapa siri penerangan berkaitan prosedur dan garis panduan kepada pemain industri akan diadakan oleh Suruhanjaya Tenaga. 

Pelaksanaan akses grid terbuka melalui Program CRESS ialah langkah progresif menuju liberalisasi pasaran tenaga dan ia dijangka mengurangkan risiko dan kos sistem pembekalan elektrik negara serta memberikan peluang yang saksama kepada pemaju untuk bersaing secara sihat. 

Pelaksanaan Program CRESS di bawah Inisiatif GREENS MADANI selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan kapasiti TBB daripada 26 peratus (10.6GW) kini kepada 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050, bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. 

Program berkenaan akan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 701,000 tCO2 setahun, di samping menjana pelaburan langsung melebihi RM10 bilion dan mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan baharu dalam industri tenaga lestari.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan