DUNIA

AGENSI MAKANAN PBB DESAK TINDAKAN SEGERA TERHADAP INFLUENZA AVIAN DI ASIA-PASIFIK

26/07/2024 01:22 PM

ISTANBUL, 26 Julai (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis menuntut langkah segera bagi menangani peningkatan kes influenza avian di rantau Asia Pasifik, lapor Agensi Anadolu (AA).

Antara saranan utama termasuk sistem pemantauan yang dipertingkatkan, diagnostik pantas, kerjasama rentas sektor, pengukuhan biokeselamatan dalam industri ternakan dan peningkatan kesedaran awam.

Susulan penularan wabak di Kemboja, China dan Vietnam baru-baru ini, pengurus serantau FAO, Kachen Wongsathapornchai menekankan keperluan mendesak untuk melaksanakan langkah-langkah berkenaan.

FAO melaporkan 13 kes baharu influenza avian pada manusia di Kemboja, dengan kes lain dikesan di China dan Vietnam.

Strain H5N1 dilaporkan telah merebak ke Amerika Selatan dan Antartika, menjangkiti spesies haiwan lain.

“Kemunculan strain A/H5N1 baharu yang lebih mudah menular meningkatkan ancaman pandemik. Langkah pencegahan segera dan terancang adalah penting,” kata Wongsathapornchai.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan