AM

LEBIH RM217 JUTA DIPERUNTUKKAN UNTUK PEMBANGUNAN SABAH - NGA

26/07/2024 03:58 PM

KOTA KINABALU, 26 Julai (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sebanyak RM217.41 juta untuk beberapa projek pembangunan di Sabah yang diumumkan menerusi Jelajah Sentuhan Kasih KPKT selama dua hari bermula semalam.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu antara lain meliputi 38 projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur awam, pembangunan, perumahan, landskap serta komuniti demi kesejahteraan penduduk setempat. 

Beliau berkata ia melibatkan bantuan kewangan bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) berjumlah RM5.51 juta bagi tahun lepas hingga tahun ini.

“Sebanyak RM211.89 juta pula meliputi pelaksanaan projek pembangunan dan naik taraf di negeri Sabah, antaranya lapan projek pembinaan baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) dengan peruntukan sebanyak RM54.94 juta.

"Selain itu antara projek lain, 12 projek melibatkan pembinaan baharu, pembinaan semula dan naik taraf balai bomba serta kuarters sebanyak RM18.45 juta.

Projek pembangunan di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sabah sebanyak RM56 juta dan baik pulih serta kerja pengukuhan cerun sebanyak RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek naik taraf Dewan Masyarakat Luyang di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe.

Dalam pada itu, Nga berkata menerusi siri lawatan Sentuhan Kasih KPKT, beliau telah melawat beberapa projek yang telah dan sedang dilaksanakan di Sabah.

“Saya lihat semua projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan memang ada projek yang tidak dapat mengikut tempoh masa yang ditetapkan, namun kita akan memantau dan pastikan projek berkenaan dapat disiapkan dengan sempurna.

“Saya telah mengarahkan semua PBT supaya sentiasa meninjau perjalanan semua projek yang dijalankan agar ia dapat disiapkan.

“Perkara ini penting kerana kementerian akan menyalurkan peruntukan mengikut projek yang dilaksanakan di setiap PBT berkenaan,” katanya.

Nga berkata Peruntukan yang diluluskan oleh KPKT adalah belanjawan berasaskan prestasi untuk memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT dalam penambahbaikan infrastruktur awam dapat terus dipertingkatkan.

“Ia juga bagi memastikan setiap projek tidak hanya memberi manfaat kepada komuniti tetapi juga berdaya maju dari segi ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan