EKONOMI

DIGITAL PENANG UMUM JALIN KERJASAMA SYARIKAT PEMULA NIAGA DENGAN THAILAND

26/07/2024 06:38 PM

GEORGE TOWN, 26 Julai (Bernama) -- Digital Penang telah mengumumkan program Market Access Thailand, disasarkan untuk memacu syarikat pemula niaga Pulau Pinang ke dalam pasaran Thailand dan mewujudkan peluang untuk pertumbuhan dan inovasi yang eksponen.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata ekonomi dinamik Thailand, infrastruktur digital kukuh dan pangkalan pengguna yang luas menjadikannya pilihan strategik untuk pengembangan pasaran, ia boleh menawarkan peluang kepada pemula niaga untuk berkembang maju.

Lima syarikat pemula niaga, ADA Biotech, Haroct Technologies, Mobula Research, Waterbay dan Visionlytics telah dipilih untuk program itu, bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan pemula niaga dalam pasaran ASEAN.

“Lima syarikat itu adalah antara yang terbaik di Pulau Pinang dan program tahun ini akan menyaksikan Digital Penang menjalin hubungan kerjasama dengan pembangun ekosistem utama di Thailand termasuk Techsauce dan Tru Digital Park.

"Menerusi kerjasama dengan institusi Thai yang berprestij ini, kami menyediakan syarikat pemula niaga Malaysia dengan kepakaran, bimbingan, dan hubungan tempatan yang penting, membuka jalan untuk kemasukan pasaran yang berjaya," katanya ketika menyampaikan ucapannya semasa pengumuman ‘Market Access: Thailand’ di Wisma Yeap Chor Ee, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pengumuman itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Penang Digital, Ng Kwang Ming dan ahli lembaga Penang Digital, Iza Fazlan Mohd Noor.

Zairil yang juga Naib Pengerusi Digital Penang berkata kerjasama itu menawarkan pandangan strategik kepada syarikat pemula niaga Pulau Pinang dan membantu mereka mengemudi landskap kawal selia Thailand, mengurangkan kekangan dan memastikan operasi perniagaan diperkemas.

"Setakat tahun ini (2024), Thailand mempunyai tiga syarikat berstatus ‘unicorn’ dan menduduki tempat keempat di rantau ini untuk kematangan dan pembangunan ekosistem," katanya.

Unicorn merujuk kepada syarikat pemula niaga yang mencatatkan nilai lebih US$1 bilion (RM4. 51 bilion).

Zaril berkata mengembangkan ke pasaran Asia Tenggara (SEA) yang lebih luas adalah penting untuk pertumbuhan eksponen pemula niaga di Pulau Pinang.

“Program Market Access Thailand mengikuti kejayaan program Market Access Indonesia tahun lepas, pada program itu, satu syarikat pemula niaga memperoleh RM3 juta dalam pelaburan manakala satu lagi syarikat berasaskan blockchain diterima ke dalam Program Pemecut XDC di Singapura dengan potensi pembiayaan bersamaan dengan US$100,000 (US$1 = RM4.67) selepas menamatkan program tersebut,” katanya.

Thailand adalah ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara dengan 90 peratus akses internet dalam isi rumah, 83 peratus penglibatan e-dagang dan purata sebanyak sembilan jam penggunaan internet setiap hari.

Digital Penang Sdn Bhd ialah syarikat berkaitan kerajaan yang dimiliki oleh kerajaan negeri Pulau Pinang, ia mula beroperasi pada April 2020 untuk mempercepatkan usaha merebut peluang dalam ekonomi digital dan mempromosikan masyarakat melibatkan diri dengan dunia pendigitalan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan