AM

LIM KIT SIANG DAHULUI SENARAI PENERIMA DARJAH KEBESARAN PULAU PINANG

26/07/2024 06:31 PM

GEORGE TOWN, 26 Julai (Bernama) -- Ahli politik veteran negara Tan Sri Lim Kit Siang akan mendahului senarai 1,346 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Bekas Pengerusi DAP berusia 82 tahun itu merupakan penerima darjah tertinggi negeri iaitu Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Selain itu, seramai 28 penerima individu dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri antaranya Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Azman Ibrahim.

Turut menerima DGPN ialah dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Khaw Kok Chin; Panglima Medan Barat Tentera Darat Lt Jen Datuk Muhammad Huzaimi Sabri; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Datuk Rosli Isa.

Sementara itu, seramai 10 individu menerima anugerah Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPN) dan 103 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DMPN ialah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid; Timbalan Pengarah Siasatan/Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad; Presiden Persatuan Perusahaan-Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Datuk Ng Yan Meng dan Penasihat Nibong Tebal Paper Mill Sdn Bhd Datuk Mohamed Sani Bakar.

Antara penerima DSPN pula termasuk Mufti Pulau Pinang Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman; Pengurus Besar Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) Dr Vijayaindiaran Visvalingam dan Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste Amarjit Singh Sarjit Singh.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Negeri Rashidi Zinol; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Abdul Kahar Abdullah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai Baderul Amin Abdul Hamid dan Ketua Cawangan Khas Pulau Pinang SAC Winston Tan Thye Wah turut menerima DSPN.

Dalam pada itu, Pingat Gagah Perwira (PGP) pula dianugerahkan kepada Sarjan Mazlan Abdul Rahman yang telah menyelamatkan dua mangsa terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada 15 Jan 2019 bagi menzahirkan penghargaan terhadap keberanian dan semangat wira itu.

Seramai 102 individu menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (30); Pingat Kelakuan Terpuji (205); Pingat Jasa Kebaktian (328); Pingat Jasa Masyarakat (516) dan Pingat Bakti Setia (22).

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang merangkap Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang akan diadakan selama empat hari bermula esok, 30, 31 Julai dan 1 Ogos ini.

"Pada tahun ini, seramai 142 orang akan menerima penganugerahan Darjah Kebesaran manakala 1,204 orang bakal menerima Bintang dan Pingat Kehormatan untuk empat hari berkenaan yang terdiri daripada anggota perkhidmatan awam negeri dan persekutuan, ahli politik, ahli korporat, anggota pertubuhan bukan kerajaan, usahawan tempatan dan ahli badan sukarela," katanya dalam kenyataan senarai penerima itu hari ini.

 Sebelum ini, beliau juga memaklumkan semua istiadat dan majlis rasmi sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-75 Tun Ahmad Fuzi  ditangguh dan akan dilaksanakan bermula 27 Julai hingga 1 Ogos 2024 berikutan pertindihan tarikh Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim, pada 20 Julai lepas.

Bagaimanapun, 13 Julai lepas telah ditetapkan dan diisytiharkan sebagai Hari Kelepasan Am sempena sambutan Hari Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang itu.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan