AM

LEBIH 100,000 PENGANUT KATOLIK DI JANGKA HADIRI SAMBUTAN ST ANNE FEAST DI BUKIT MERTAJAM

26/07/2024 06:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 Julai (Bernama) -- Minor Basilica of St Anne  di sini dijangka menerima kehadiran 100,000 penganut Katolik termasuk pelancong asing, bagi acara tahunan St Anne Feast, yang merupakan salah satu perayaan agama terbesar di negara ini, yang berlangsung selama 10 hari.

Paderi Lazarus Anthony berkata festival itu turut merangkumi sembilan hari novena atau perhimpunan keagamaan Kristian bermula pada 19 Julai, dan kebanyakkan penganut dijangka membanjiri gereja berkenaan mulai hari ini sehingga Ahad nanti.

“Tema tahun ini ialah "Enlarge The Space of Your Tent" yang diinspirasikan daripada kitab Bible (Isaiah 54:2).

"Sepanjang perayaan 10 hari perayaan St Anne, kita berhimpun, bersedia untuk menerima rahmat, mengharapkan kesejahteraan atau kegembiraan buat yang datang ke perayaan ini. Rahmat untuk semua, tanpa mengira bangsa, agama atau status dalam kehidupan,” katanya kepada Bernama.

Kemuncak perayaan adalah pada hari Sabtu ini, yang akan berlangsung perhimpunan keagamaan beramai-ramai secara terbuka pada pukul 7 malam, dianjurkan dalam pelbagai bahasa dan diikuti oleh perarakan di hari terakhir perayaan. 

Sementara itu Ketua Polis Seberang Perai Tengah ACP Helmi Aris berkata beberapa jalan sekitar Bukit Mertajam akan ditutup selama dua hari dari 9 pagi hingga 3 petang.

Perarakan sejauh 1.6km akan diadakan dari pukul 7 malam Sabtu, bermula di Pintu Pagar 3 gereja yang melalui Jalan Kulim, Jalan Kampung Baru dan Jalan Berjaya sebelum kembali ke Pintu Pagar 1 gereja kira-kira pukul 11 malam. 

St Anne Feast yang berlangsung di Bukit Mertajam pada Julai setiap tahun, menarik kehadiran ribuan penganut Katolik dari serata dunia ke Pulau Pinang. Penganut Katolik menyambut hari kebesaran ini pada 26 Julai setiap tahun.    

Kemeriahan perayaan St Anne di Pulau Pinang seakan-akan sama seperti sambutan Krismas bagi penganut Kristian.

Gereja St Anne di naik taraf kepada Minor Basilica of St Anne pada September 2019, melambangkan ikatan yang kukuh antara Gereja Rome dan Paus (Pope).

Dibina pertengahan 1800-an, ia adalah gereja yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan menarik ramai penganut daripada pelbagai kaum ke sini.  

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan