AM

IMIGRESEN TAHAN 34 PENDATANG TANPA IZIN

26/07/2024 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Seramai 34 pendatang tanpa izin termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan imigresen di sekitar Jalan Ipoh di sini, atas pelbagai kesalahan hari ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata mereka ditahan menerusi serbuan Op Belanja dan Op Selera yang menyasarkan premis perniagaan seperti kedai runcit dan restoran. 

"Mereka terdiri daripada individu berusia antara 30 hingga 63 tahun yang berasal dari Nepal, Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan India.

"Ada antara mereka bekerja sebagai pekerja kedai runcit, tukang masak, tukang gunting dan pelayan restoran," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Wan Mohammed Saupee berkata mereka yang ditahan dibawa ke Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 antaranya atas kesalahan masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan