EKONOMI

E-INVOIS: KELONGGARAN ENAM BULAN PASTIKAN SYARIKAT LEBIH BERSEDIA

26/07/2024 08:23 PM

CYBERJAYA, 26 Julai (Bernama) -- Kelonggaran pelaksanaan e-Invois selama enam bulan yang diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Jumaat, melegakan kalangan pembayar cukai terbabit kerana dapat memastikan syarikat lebih bersedia daripada pelbagai aspek.

Ketua Cukai KPMG Tax Services Sdn Bhd Soh Lian Seng berkata kelonggaran itu merupakan inisiatif yang baik selain membuktikan keprihatinan kerajaan dalam mendengar input atau suara golongan terbabit.

“Ini inisiatif yang baik...kelonggaran ini memberikan mereka (pembayar cukai) masa untuk melaksanakan e-Invois dengan lebih lengkap.

“Bagi saya, ini membuktikan kerajaan menerima dan dengar apa disuarakan (mereka terbabit) mengenai pelaksanaan e-Invois,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Velesto Energy Sazlyna Sapiee berkata pelaksanaan e-Invois yang bertujuan memberi ketelusan, memerlukan persiapan secara teliti.

Berikutan itu, katanya, kelonggaran yang diumumkan LHDN akan membolehkan syarikat terbabit membuat persiapan atau lebih bersedia.

“Ada syarikat yang memerlukan masa (bagi melaksanakannya). Berita kelonggaran ini menjadi bukti bahawa LHDN mendengar cabaran yang dihadapi oleh syarikat,” katanya.

Terdahulu, ketika mengumumkannya Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran kepada pembayar cukai dalam tempoh enam bulan dari tarikh pelaksanaan mandatori e-Invois bermula 1 Ogos ini.

Dalam tempoh enam bulan tersebut, tiada tindakan pendakwaan di bawah seksyen 120 Akta Cukai Pendapatan 1967 terhadap ketidakpatuhan peraturan e-Invois dengan syarat pembayar cukai mematuhi keperluan e-Invois yang disatukan.

LHDN sebelum ini memaklumkan fasa pertama pelaksanaan e-Invois bermula pada 1 Ogos ini, melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Fasa kedua pula akan melibatkan syarikat yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM 25 juta hingga RM100 juta, kata LHDN.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan