AM

FAMA CATAT JUALAN KESELURUHAN RM1.2 BILION ENAM BULAN PERTAMA 2024

27/07/2024 10:35 AM

KOTA BHARU, 27 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM1.2 bilion hingga Jun tahun ini menerusi pelbagai program anjurannya di seluruh negara.

Pengerusi FAMA Aminuddin Zulkipli berkata berdasarkan jumlah itu, pihaknya yakin mampu meraih baki RM800 juta menjelang akhir tahun ini, sekali gus mencapai sasaran jualan RM2 bilion yang ditetapkan bagi 2024.

"Jualan Agro MADANI antara program yang mencatat jualan tertinggi iaitu kira-kira RM80 juta menerusi 4,102 siri jualan, selain FAMA Fest dan cawangan jualan FAMA lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan FAMA Fest di sini semalam.

Aminuddin berkata FAMA Fest yang mula dilaksanakan pada 2017 hingga tahun lepas mencatatkan jualan sebanyak RM24 juta dengan penyertaan 2,180 usahawan dan bagi penganjuran tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM7.85 juta melibatkan 755 usahawan.

Program itu katanya, membantu usaha pemulihan ekonomi setempat dan memberi impak yang besar menerusi padanan perniagaan serta jualan terus daripada usahawan kepada pengguna.

Beliau memaklumkan terdapat lapan lokasi FAMA Fest sepanjang tahun ini dengan enam lokasi sudah diadakan termasuk di Kelantan pada 24 hingga 28 Julai ini, diikuti Kuala Lumpur dan Sabah tidak lama lagi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan