DUNIA

MACRON ISYTIHAR PEMBUKAAN SUKAN OLIMPIK PARIS DENGAN UPACARA BERSEJARAH DI SUNGAI SEINE

27/07/2024 12:24 PM

PARIS, 27 Julai (Bernama-Xinhua) -- Selepas menunggu selama satu abad, Paris sekali lagi menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dengan upacara bersejarah yang berlangsung di Sungai Seine meskipun dalam keadaan hujan.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengisytiharkan Sukan itu dibuka sebelum upacara air mencapai kemuncaknya apabila Teddy Riner dan Marie-Jose Perec menyalakan kawah dengan api Olimpik, lapor Xinhua.

Han Zheng, naib presiden China dan Wakil Khas Presiden Xi Jinping, adalah antara tetamu kenamaan antarabangsa yang hadir pada majlis perasmian itu.

Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan rakyat Perancis.

"Anda membawa reformasi Agenda Olimpik kami menjadi kenyataan dengan menjadikan Sukan ini sangat terbuka. Kita semua akan mengalami Sukan Olimpik yang lebih inklusif, lebih bandar, lebih muda dan lebih lestari - Sukan Olimpik pertama dengan kesaksamaan gender sepenuhnya di gelanggang pertandingan," kata Bach.

Buat pertama kalinya dalam sejarah Olimpik, upacara pembukaan berlangsung di luar stadium Olimpik utama bandar tuan rumah. Dari Jambatan Austerlitz ke Trocadero, kira-kira 6,800 atlet, berkumpul di belakang pembawa bendera mereka, menelusuri sepanjang 6km Sungai Seine dengan 85 bot.

Walaupun keadaan hujan, perarakan itu membolehkan atlet menikmati keindahan monumen paling terkenal di Paris, termasuk Louvre, Place de la Concorde, Grand Palais dan Menara Eiffel, antaranya menjadi tempat upacara pembukaan dan persembahan muzik.

Sukan Olimpik 2024 menandakan kali ketiga Paris menganjurkan Sukan Olimpik Musim Panas. Yang pertama ialah pada 1900 dan yang terakhir seabad yang lalu pada 1924.

Beberapa jam sebelum upacara pembukaan, serangan khianat menggunakan api ke atas beberapa kemudahan rangkaian kereta api Perancis menyebabkan kelewatan dan pembatalan yang meluas kepada perkhidmatan kereta api di seluruh Eropah, membayangi perayaan sukan itu.

Namun serangan itu tidak menjejaskan suasana sekitar upacara itu kerana orang ramai memenuhi tebing dan jambatan Seine untuk menonton.

China telah menghantar delegasi 405 atlet, termasuk 42 juara Olimpik yang akan bersaing dalam 236 acara membabitkan 30 sukan di temasya itu.

Sementara itu, golongan selebriti dan pemimpin politik dilihat di bandar raya itu dan pada majlis sebelum acara sukan bermula.

Penghibur seperti Lady Gaga, Celine Dion dan bintang R&B Perancis Mali Aya Nakamura turut serta dalam acara itu, dengan gambar mempamerkan Lady Gaga sedang menjalani latihan di tangga menuju ke Sungai Seine.

Presiden dan Perdana Menteri dari seluruh dunia telah berkunjung ke Paris, dengan Perdana Menteri Britain yang baru dipilih Keir Starmer membuat perjalanan pendek ke Perancis, walaupun beliau terpaksa menukar kereta api Eurostar dengan penerbangan.

Penyanyi rap Snoop Dogg membawa obor Olimpik melalui jalan-jalan di daerah Saint-Denis Paris dan penyanyi Pharrell Williams juga melakukan giliran ketika obor sampai ke jalan-jalan Paris, sesuatu yang tidak syak lagi membuatkannya “gembira”.

Wira bola sepak Perancis Thierry Henry ialah pembawa obor yang popular manakala selebriti dunia hiburan juga banyak dilihat memenuhi jalan-jalan di Paris dan di kawasan VIP.

Pemain bola sepak legenda Zinedine Zidane membantu mengekalkan api ketika majlis itu bermula.

Penyanyi Amerika Syarikat (AS) John Legend dan isterinya Chrissy Teigen bersiar-siar di sepanjang permaidani merah di Trocadero begitu juga penyanyi Kelly Clarkson dan Ariana Grande dan pelakon British Cynthia Erivo.

Selain itu ia turut disertai oleh bekas bintang sukan, seperti bekas atlet Michael Johnson, pelumba basikal trek Sir Chris Hoy, pelari pecut Carl Lewis, gimnas Nadia Comaneci, bintang tenis Serena Williams, Amelie Mauresmo dan Rafael Nadal serta bintang bola keranjang Tony Parker dan Pau Gasol, yang kebanyakannya mengambil bahagian membawa obor Olimpik pada minit-minit akhir upacara itu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan