AM

KOLEJ UNIVERSITI I-CATS BAKAL MILIKI KAMPUS BAHARU - ABANG JOHARI

27/07/2024 03:58 PM

KUCHING, 27 Julai (Bernama) -- Institusi pengajian tinggi milik Sarawak, Kolej Universiti i-CATS, akan memiliki kampus baharu yang akan dibina di kawasan tepi pantai di Trombol, kira-kira 40 kilometer dari pusat bandar di sini.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembangunan kampus baharu menelan kos kira-kira RM300 juta itu akan dilengkapi teknologi pembelajaran moden yang terkini.

"Pada masa sama, ia akan mempunyai makmal canggih untuk melahirkan siswazah yang akan menaik taraf Sarawak sebagai pusat pembelajaran moden," katanya ketika melancarkan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak di kampus i-CATS di Jalan Stampin Timur, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan baru-baru ini meluluskan penubuhan Fakulti Aeroangkasa di kolej universiti berkenaan yang akan memulakan semester sulung pada September ini.

Penubuhan fakulti baharu itu kata Abang Johari, selaras dengan persediaan Sarawak untuk melahirkan tenaga kerja terlatih yang diperlukan untuk menceburi industri aeroangkasa, terutama dalam penghasilan alat ganti pesawat dan peralatan avionik.

Beliau berkata Sarawak juga meminda Kanun Tanah negeri itu yang meluaskan bidang kuasanya meliputi ruang udara dan spektrum, selain menceburi bidang penghasilan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk meneruskan komitmen dalam industri aeroangkasa.

"Dalam usaha untuk melahirkan siswazah, kita perlu mengambil kira semua prasyarat proses pembelajaran. Oleh sebab itu, kita adakan ekspo ini supaya anda dapat mengenal pasti bidang yang ingin dipelajari dan berkaitan dengan pembangunan masa kini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan