AM

KPDN RANGKA GERAKAN MASSA BANTERAS KETIRISAN BARANG KAWALAN DI SABAH, SARAWAK

28/07/2024 05:32 PM

KINABATANGAN, 28 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka satu gerakan massa untuk melibatkan orang ramai dalam memerangi penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya diesel dan RON95 di Sabah dan Sarawak.

Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata gerakan itu bagi membantu penguatkuasaan dalam memerangi ketirisan subsidi melalui pemantauan dan penyaluran maklumat.

Beliau berkata gerakan itu dilaksanakan susulan keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan penyasaran subsidi diesel secara berperingkat bermula dengan Semenanjung Malaysia dengan pengecualian Sabah, Sarawak dan Labuan pada masa ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor.

“Penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan bersubsidi bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah penafian hak subsidi rakyat.

“Perbuatan memperdagang bantuan subsidi secara haram dan bertentangan dengan undang-undang merupakan sabotaj ekonomi negara dan agenda kerajaan dalam penyaluran bantuan sosial kepada golongan memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berkata orang ramai perlu terus menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat berhubung sebarang bentuk penyelewengan serta penyeludupan supaya aktiviti merugikan negara dan rakyat itu dapat dibanteras.

Sementara itu, Armizan berkata kerajaan telah memutuskan untuk meneruskan kaedah sedia ada penyaluran subsidi pukal diesel di peringkat runcit bagi Sabah, Sarawak dan Labuan bagi tahun ini melibatkan subsidi mencecah RM3.6 bilion.

Beliau berkata antara faktor utama pengecualian itu ialah kebergantungan tinggi para pengguna khususnya di Sabah dan Sarawak kepada penggunaan kenderaan bahan api diesel disebabkan faktor geografi dan taraf jalan perhubungan darat dan air.

Selain itu, pertimbangan risiko kesan rantaian mengambil kira kadar harga barangan dan perkhidmatan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang lebih tinggi berbanding di Semenanjung Malaysia serta tahap kesediaan dan akses maklumat pengguna bahan api diesel untuk pemprofilan penyasaran subsidi diesel bagi pengguna individu, agri komoditi dan sektor pengangkutan awam dan barangan.

Bagaimanapun, Armizan berkata kerajaan tidak pernah menafikan isu ketirisan yang meliputi penyelewengan dan penyeludupan bahan api diesel juga berlaku di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Sehubungan itu, katanya kerajaan telah mengarahkan semua agensi berkaitan seperti KPDN, kastam, polis, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia untuk memperkasa strategi dan pendekatan bagi meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan