SUKAN

PARIS 2024: PEARLY-THINAAH KEJUTKAN BEREGU KEENAM DUNIA, KEKALKAN PELUANG KE SUKU AKHIR

28/07/2024 05:15 PM

Daripada R. Vikneswaran

PARIS, 28 Julai (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berjaya menghidupkan peluang mereka ke suku akhir Sukan Olimpik 2024, selepas bangkit mengejutkan pasangan keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada aksi Kumpulan A, hari ini.

Gandingan di ranking ke-13 dunia itu, mempamerkan aksi bertenaga dan berjuang hingga akhir untuk mencatatkan kemenangan 18-21, 21-15, 21-16, ke atas juara dunia 2018 dan 2019 Matsumoto-Nagahara di Porte De La Chapelle Arena.

Walaupun mereka bermula baik untuk mendahului 11-7 pada set pertama, namun telah memberikan ruang kepada pasangan keenam dunia itu untuk bangkit memenangi set berkenaan 21-18.

Diserikan dengan sokongan padu sekitar 8,000 penonton, Pearly-Thinaah bangkit dengan lebih agresif untuk mendahului set kedua dari awal untuk meraih kemenangan 21-15, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan. 

Pearly-Thinaah terus mengegarkan gelanggang dengan serangan padu yang memaksa wakil Jepun akur dengan kekalahan, sekali gus melebarkan rekod kemenangan sebanyak empat kali dalam enam pertemuan di antara mereka.

Semalam, mereka membuka kempen Paris 2024 dengan kekalahan 17-21, 20-22 selepas aksi sengit selama 55 minit menentang gandingan nombor satu dunia Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China, pada aksi pertama. 

Pearly-Thinaah perlu meneruskan momentumkan kemenangan menentang Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia pada perlawanan terakhir kumpulan pada Selasa, bagi memastikan slot ke suku akhir.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan