DUNIA

RUSIA SAMBUT BAIK MINAT MALAYSIA TERHADAP BRICS - LAVROV

28/07/2024 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama-Sputnik) -- Rusia mengalu-alukan minat Malaysia terhadap BRICS dan akan membantu untuk mempromosikan minat itu, kata Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov pada Ahad.

"Malaysia telah menyatakan minat untuk mengukuhkan hubungan dengan BRICS. 

"Kami secara aktif menyokong minat ini dan selaku pengerusi akan membantu mempromosikan minat ini," kata menteri itu semasa sidang media selepas lawatannya ke Malaysia, menurut laporan Sputnik.

Terdahulu, Lavrov melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya di mana kedua-dua pemimpin membincangkan hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi BRICS.

Bernama melaporkan Anwar menyatakan bahawa Malaysia telah menghantar surat permohonan untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS kepada Rusia.

Rusia merupakan Pengerusi organisasi itu yang merangkumi Brazil, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau juga telah menghadiahkan beberapa buah buku kepada pemimpin Malaysia, termasuk karya Alexander Pushkin dan penulis Rusia lain serta karya penyair Malaysia yang diterjemahkan ke dalam bahasa Rusia.

Secara berasingan, Sputnik juga melaporkan bahawa Lavrov, dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengingatkan Menteri Luar itu mengenai undangannya untuk melawat Rusia.

Mohamad dan Lavrov telah menghadiri Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57 dan Mesyuarat Berkaitan selama seminggu di Laos, yang berakhir semalam.

Kementerian Luar Rusia dalam Telegram rasminya berkata semasa pertemuan itu, kedua-dua Menteri Luar turut bertukar nota mengenai penubuhan kerjasama antara Akademi Diplomatik Kementerian Luar Rusia dan Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa Kementerian Luar Malaysia.

-- BERNAMA-SPUTNIK

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan