AM

KEMAS, PTPTN METERAI MOU TINGKAT BUDAYA PENABUNGAN AWAL

28/07/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk membudayakan penabungan awal melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam kalangan warga dan kumpulan sasaran KEMAS.

KEMAS dalam kenyataan memaklumkan kerjasama strategik itu, bakal memberi manfaat dan meningkatkan kesejahteraan warga KEMAS serta masyarakat luar bandar, melalui pelbagai program di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menurut kenyataan itu, MoU tersebut ditandatangani Ketua Pengarah KEMAS Datuk Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi dan Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid, dalam majlis yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

“PTPTN turut menyerahkan sumbangan zakat akaun simpanan SSPN PRIME PTPTN RM190,000 kepada KEMAS, yang memberi manfaat kepada 1,900 penerima asnaf kanak-kanak Tabika (taman bimbingan kanak-kanak) dan Taska (taman asuhan kanak-kanak) KEMAS, iaitu RM100 bagi setiap kanak-kanak.

“Kerjasama ini adalah usaha memastikan komitmen dan tanggungjawab KEMAS dalam mencapai misi memperkasa masyarakat luar bandar ke arah pembangunan holistik,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sumbangan itu juga merupakan usaha mewujudkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penabungan simpanan untuk pendidikan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan