SUKAN

PEWARTAAN 103 JENIS SUKAN BANTU PERKEMBANGAN SUKAN KURANG POPULAR - HANNAH

28/07/2024 08:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Langkah pewartaan 103 jenis sukan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) tahun lepas secara tidak langsung telah membantu sukan-sukan yang kurang popular berkembang dan mula mendapat perhatian.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ini kerana selepas diwartakan pihak-pihak berkepentingan boleh mengakses dana dan peruntukan untuk penganjuran program yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata ketika ini pihak terlibat boleh memohon antaranya geran padanan sukan, dana sukan komuniti dan pelepasan cukai bagi latihan sukan bernilai RM1,000.

“Dulu mereka (pihak berkepentingan) lihat dari luar, selagi sukan itu tidak diwartakan mereka tidak dapat akses kepada dana-dana dan peruntukan yang kita bagi untuk penganjuran program, sekarang mereka boleh mohon geran padanan sukan, dana sukan komuniti dan pelepasan cukai RM1,000.

“KBS mahu bukan sahaja pencapaian pingat tetapi kita juga hendak membudayakan sukan, semakin banyak sukan yang rakyat suka, tidak kisah sukan apalah asalkan rakyat berpeluh dan kos rawatan (kesihatan) akan menurun bila kanak-kanak dan generasi yang akan datang dan juga warga emas bersukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan akhir Kuala Lumpur International Pickleball Tournament 2024 di Pusat Tenis Nasional Tun Razak di sini hari ini.

Hannah berkata pickleball antara sukan baharu yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Sambutan sangat baik dan sukan ini semakin popular sekarang,” katanya.

Pickleball ialah sukan yang menggabungkan unsur tenis, badminton dan pingpong menggunakan pemegang raket bersaiz kecil dan bola plastik berlubang.

Kuala Lumpur International Pickleball Tournament 2024 yang bermula Jumaat lepas hingga hari ini, berjaya menarik kira-kira 700 penyertaan dari keseluruhan 16 negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan