AM

KERAJAAN BERI TUMPUAN UNTUK BUKA TANAH KERAJAAN DI BAWAH IPR-INTAN

29/07/2024 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Kerajaan memberi tumpuan untuk membolehkan tanah kerajaan dibuka seluasnya untuk diusahakan rakyat di bawah Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat - Inisiatif Usahawan Tani (IPR-Intan).

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata buat masa ini 1,100 ekar tanah telah dibuka di seluruh negara, semuanya itu di atas tanah kerajaan, kerana infrastruktur pertanian moden yang dibangunkan melalui IPR-Intan.

“Ini sudah memadai (dengan) penerima-penerima di seluruh negara mula menyertai pertanian moden, yang pulangannya memberi gaji sekurang-kurang RM2,000 sebulan kepada warga miskin tegar,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit bagi mempermudahkan syarat pemilikan tanah untuk semua kelompok desa dan rumah panjang menerima program IPR-Intan.

Selain itu, Kementerian Ekonomi juga meneliti program yang boleh melibatkan lebih banyak tanah selain tanah kerajaan termasuk tanah swasta bagi projek IPR-Intan, yang akan meliputi syarat dan perjanjian yang sah untuk membolehkan peruntukan dan pelaburan kerajaan dilindungi.

“Kebimbangan saya, contohnya kalau kita terlalu memudahkan sehingga kita tidak mengambil kira perkara-perkara terutamanya melibatkan pemilikan, akan membolehkan pihak tertentu mengambil kesempatan melalui tindakan undang-undang dan sebagainya,” kata beliau.

Rafizi berkata faktor unik pemilikan tanah di Sabah dan Sarawak juga sedang diperhalusi dan mengambil kira semua semua pandangan undang-undang, sebelum keputusan diambil.

“Cuma keadaannya sekarang tanah-tanah yang kerajaan ada, baik kerajaan Persekutuan di bawah Pejabat Tanah dan Galian, ataupun kerajaan negeri, tanah-tanah ini sudah cukup luas untuk kita bangunkan sebelum kita masuk ke tanah-tanah persendirian dan swasta,” kata beliau.

Menjawab soalan Senator Hussin Ismail mengenai harga premium tinggi yang dikenakan ke atas tanah kerajaan, Rafizi berkata modal untuk melaksanakan satu infrastruktur pertanian moden melibatkan jutaan ringgit dan ia memerlukan beberapa pusingan tuaian, sebelum teknologi dan pasaran boleh diperbetulkan.

“Malah ia juga perlu dilaksanakan pada skala yang besar. Di tapak-tapak Intan, sekurang-kurang 20-30 ekar ke atas,” katanya.

Rafizi berkata hak menentukan premium itu adalah hak kerajaan negeri, kerana ia merupakan satu-satunya sumber pendapatan kerajaan negeri.

Beliau berkata apa pun peraturan untuk menetapkan premium itu, ia mestilah pada keadaan yang membolehkan kerajaan negeri mendapatkan hasil mencukupi dan pada masa yang sama, tanah-tanah yang diberikan ini dapat dibangunkan dengan berkesan, supaya ia ada limpahan ekonomi.

“Jadi sebab itu, kita di Kementerian Ekonomi apabila kita membangunkan Intan, kita telah melihat kekangan dan kegagalan yang lepas, apabila tanah diberikan kepada usahawan tetapi mereka tidak ada modal untuk membangunkannya, akhirnya tanah itu terbiar atau tanah diberikan kepada orang,” kata beliau.

Oleh sebab itu, Rafizi berkata kerajaan Persekutuan mengambil pendekatan, adalah lebih baik tanah kerajaan Persekutuan dan tanah kerajaan negeri diberi dalam tempoh lima tahun untuk kerajaan Persekutuan membangunkan infrastruktur dan akan memberi pekerjaan di atas satu tapak.

“Ia dikawal sepenuhnya serta modal datang dari kerajaan dan akhirnya aset ini, aset kerajaan yang boleh digunakan peserta, dan peserta boleh diganti dari satu kohort ke satu kohort yang akan datang,” tambahnya.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan