AM

JANGAN GUNA LOGO, MASKOT SUKMA SARAWAK TANPA KEBENARAN - SMA

30/07/2024 02:04 PM

KUCHING, 30 Julai (Bernama) -- Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) menggesa semua pihak supaya tidak menggunakan logo dan maskot SUKMA ke-21 Sarawak 2024 tanpa persetujuan atau kebenaran SMA berkuat kuasa serta-merta.

Pengurus Besar SMA Datuk Dr Anderson Tiong Ing Heng berkata logo dan maskot itu telah didaftarkan SMA di bawah Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 dan Seksyen 10(1)(i) Ordinan Lembaga Multimedia Sarawak 2017.

“Sebarang penggunaan logo dan maskot SUKMA XXI Sarawak 2024 tanpa kebenaran adalah melanggar hak harta intelek Pihak Berkuasa di bawah Akta Hak Cipta 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penggunaan logo dan maskot itu tanpa sebarang persetujuan atau kebenaran bertulis daripada SAM merangkumi tetapi tidak terhad kepada menghasilkan semula dalam apa-apa bentuk material, persembahanan, pertunjukan, permainan atau mengedar kepada orang ramai.

Selain itu, membuat untuk jualan, menyewa atau mengedar apa-apa salinan langgaran; menjual, menyewakan atau secara dagangan, mendedahkan atau menawarkan untuk dijual atau disewakan salinan langgaran serta memiliki selain untuk kegunaan peribadi dan domestik salinan langgaran.

Ia turut merangkumi mempamerkan pada awam apa-apa salinan langgaran dengan cara dagangan serta membuat atau ada dalam miliknya apa-apa perekaan yang digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi maksud membuat salinan langgaran.

Tiong berkata mana-mana pihak yang didapati sengaja melakukan perbuatan berkenaan bertanggungjawab secara langsung dan/atau secara wakil bagi pelanggaran hak cipta dan SMA memandang serius pelanggaran ini untuk melindungi hak harta inteleknya.

Beliau berkata pihaknya mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang sivil dan jenayah tanpa rujukan dan/atau notis lanjut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan