JENAYAH & MAHKAMAH

PENIPUAN DALAM TALIAN PENYUMBANG TERBESAR JENAYAH KOMERSIAL DI JOHOR

30/07/2024 02:35 PM

JOHOR BAHRU, 30 Julai (Bernama) -- Kes penipuan dalam talian merupakan penyumbang terbesar bagi kes jenayah komersial di negeri ini membabitkan 88.9 peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata angka itu amat membimbangkan dan orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan menerusi portal SemakMule CCID sebelum melakukan sebarang transaksi.

"Saya menyeru masyarakat setempat dan pengamal media untuk menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dalam talian ini kepada pihak kami dengan segera. Lakukan semakan akaun bank dan nombor telefon menerusi SemakMule CCID," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Beliau berkata pelbagai kejayaan telah dicapai kontinjen Johor sejak Januari lepas hingga kini termasuk menyelesaikan kes culik kanak-kanak Albertine Leo Jia Hui, 6, yang hilang di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri, pada 20 Julai lepas.

Kumar berkata 1,146 kes membabitkan kegiatan perjudian dan maksiat telah dituduh di mahkamah selain 12,678 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dengan rampasan 2.76 tan dadah bernilai RM31.29 juta.

"Sebanyak 429 penagih berulang juga telah ditahan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 83 ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985," katanya.

Sebanyak 16,606 saman bernilai RM2.9 juta, katanya berjaya dikutip serta 88 kes jenayah harta henda, pecah rumah dan curi kenderaan diselesaikan dengan 36 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan jenayah.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak khususnya masyarakat yang menyalurkan maklumat dalam membantu kejayaan pihak polis serta pengamal media yang menjadi medium penyampaian informasi tepat dan sahih.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan