AM

YAYASAN RYTHM ANJUR KEM PROGRAM SEKOLAH MAHARANI MEGA DI N.SEMBILAN

31/07/2024 10:38 AM

NILAI, 30 Julai (Bernama) -- Yayasan RYTHM, suatu inisiatif impak sosial konglomerat global Kumpulan QI, baru-baru ini menganjurkan Kem Program Sekolah Maharani (MSP) terbesar untuk gadis remaja sejak pandemik COVID-19.

Ketua yayasan itu, Santhi Periasamy berkata kem tiga hari yang bermula Jumaat lepas menghimpunkan 200 pelajar Tingkatan Tiga dari lima sekolah yang mengambil bahagian iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Kelana Putra, SMK Dato’ Shahardin, SMK Felda Seri Sendayan, SMK Mantin dan SMK Puteri.

Beliau berkata penganjuran Kem MSP terbesar sejak pandemik itu adalah satu pencapaian besar bagi Yayasan RYTHM dalam memberikan sokongan akademik dan pembangunan peribadi untuk gadis remaja bagi membantu membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan dan merealisasikan potensi mereka.

“Kem ini mencerminkan komitmen kami yang tidak berbelah bahagi untuk memberdayakan gadis-gadis muda dengan menyediakan sokongan yang diperlukan dan peluang pembangunan peribadi untuk berjaya dan menjadi pemimpin masa depan,” katanya kepada pemberita selepas Program MSP (Negeri Sembilan), yang dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Seremban Noraini Md Din.

Beliau berkata Negeri Sembilan merupakan negeri kedua selepas Selangor yang melaksanakan inisiatif itu, suatu pencapaian yang menggariskan kejayaan MSP dan potensi untuk pelaksanaan yang lebih meluas di seluruh Malaysia.

Santhi berkata program berkenaan merupakan pencapaian siginifikan kerana bukan sahaja membolehkan mereka melibatkan lebih ramai remaja yang memerlukan sokongan, tetapi juga menonjolkan kejayaan dan pengiktirafan terhadap inisiatif itu.

Beliau juga berkata dengan memperluas MSP ke lebih banyak sekolah, pihaknya dapat membantu lebih ramai gadis menyedari potensi penuh mereka, sekali gus membuktikan komitmen yayasan itu untuk memberdayakan gadis-gadis muda dan memberikan kesan positif kepada kehidupan mereka.

Santhi menambah kem itu melibatkan peserta dalam pelbagai sesi interaktif dalam dan luar ruangan untuk meningkatkan kerja berpasukan dan pembangunan peribadi, menerusi aktiviti yang menumpukan pada pembinaan watak, penetapan matlamat dan pemikiran kritis, yang menjadi landasan untuk peserta mengenali dan memupuk potensi mereka.

Sementara itu, Nurul Afika Amirul, peserta dari SMK Mantin berkata kem tersebut merupakan pengalaman yang mengubah hidupnya serta dia telah banyak belajar mengenai kerja berpasukan dan membina keyakinan diri.

Dia berkata aktiviti yang dijalankan sangat menyeronokkan dan mencabar, membantunya memahami kekuatan dirinya dengan lebih baik.

Thivyah Uthayakkumar dari SMK Dato Shahardin pula menyifatkan kem itu sebagai pengalaman yang luar biasa yang mengajar pelajar kemahiran berharga seperti penetapan matlamat dan pemikiran kritis serta mendorong mereka untuk saling menyokong dan bekerjasama.

Sejak diperkenalkan pada 2010, MSP telah memberi impak kepada lebih 8,000 pelajar. Program holistik itu direka untuk remaja berumur 13 hingga 17 tahun dengan keutamaan kepada pelajar daripada keluarga B40.

Program itu bertujuan untuk memperkasa golongan tersebut bagi mengatasi cabaran dan berjaya dalam kehidupan pendidikan dan peribadi menerusi sokongan akademik dan inisiatif pembangunan peribadi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan