AM

FAMA ANJUR KURSUS TINGKAT DAYA SAING PRODUK AGROMAKANAN MELALUI AI

31/07/2024 08:17 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menganjurkan kursus bagi mempertingkatkan kemahiran usahawan dalam penggunaan teknologi kecerdasan buat­an (AI), memperkasakan usahawan dalam meningkatkan jualan dan daya saing produk agromakanan di pasaran.

FAMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kursus Upskilling Kaedah Teori dan Praktikal Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Penjenamaan dan Peningkatan Jualan Produk Agromakanan itu berlangsung selama dua hari bermula 27 Julai lepas di Ibu Pejabat FAMA, Bandar Baru Selayang.

Kursus itu disertai 25 syarikat, terdiri daripada usahawan berdaftar FAMA yang menghasilkan produk agromakanan.

Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan FAMA Siti Nurul Haida Ibrahim dalam kenyataan sama berkata penganjuran kursus itu adalah langkah proaktif FAMA dalam memperkasakan usahawan agromakanan dengan kemahiran dan pengetahuan teknologi terkini.

“Melalui kursus ini, kami berharap usahawan dapat memanfaatkan AI untuk meningkatkan daya saing dan kecekapan perniagaan mereka, dari analisis data hingga automasi pemasaran.

“Inisiatif ini bukan sahaja akan memperkukuhkan kedudukan produk agromakanan tempatan di pasaran tetapi juga menyumbang kepada pembangunan sektor agromakanan yang lebih inovatif dan berdaya saing di peringkat global," katanya. 

Sementara itu, peserta kursus Naim Asyraf Zakaria yang merupakan pengusaha produk Dim Sum dari Ipoh, Perak berkata kursus itu sangat membantu beliau memahami cara teknologi AI dapat digunakan untuk meningkatkan penjenamaan dan jualan produknya.

“Saya kini lebih yakin untuk mengaplikasikan AI dalam strategi pemasaran dan operasi perniagaan harian saya. Terima kasih kepada FAMA kerana menyediakan platform yang sangat berharga ini,” katanya. 

Hari pertama kursus itu bermula dengan sesi pengenalan kepada teknologi AI, diikuti dengan sesi mengenai ChatGPT dan penghasilan prompt, sesi Analisis 6 Elemen Pra Perniagaan dan 7 Kaedah Copywriting Bersasar serta diakhiri dengan pembentangan kerja kumpulan oleh peserta, kata kenyataan itu.

Pada hari kedua pula, program dimulai dengan sesi penjanaan imej menggunakan Copilot, diikuti sesi kaedah menggunakan Canva untuk pembinaan poster.

Program diteruskan dengan sesi pembangunan pos media sosial dan laman web serta sesi pembangunan laman web dan diakhiri dengan pembentangan laman web oleh para peserta serta penyampaian sijil penyertaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan