EKONOMI

KAJI PELBAGAI KAEDAH TEKNOLOGI SAF UNTUK LONJAK PENGELUARAN - PAKAR

31/07/2024 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Malaysia perlu menjalankan kajian ekonomi yang menyeluruh untuk menilai kriteria kelestarian, ketersediaan komersial, dan kesiapan teknologi bagi pelbagai kaedah teknologi berpotensi untuk melonjakkan pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF), kata pakar.

Presiden Konfederasi Industri Biojisim Malaysia Datuk Leong Kin Mun berkata pembangunan SAF di Malaysia menawarkan peluang besar untuk memanfaatkan biojisim sawit negara yang berlebihan, minyak sawit mentah (MSM) dan minyak sawit sisa.

Beliau berkata setiap tahun, Malaysia menghasilkan kira-kira 95 juta tan biojisim sawit kering, 18 juta tan MSM dan minyak sawit sisa, dengan kesemuanya diperakui sebagai bahan api yang layak untuk Skim Pengimbangan dan Pengurangan Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).

“Bahan mentah ini boleh dibangunkan melalui laluan (kaedah) teknologi antaranya gasifikasi FischerTropsch, ester dan asid lemak yang diproses hidro, dan alkohol ke jet,” katanya dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) dan Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corp) hari ini.

Menurut kenyataan bersama itu, perkara tersebut disampaikan oleh Leong dalam forum anjuran Bioeconomy Corp baru-baru ini yang bertujuan membincangkan dasar kerajaan, prospek pasaran, kemajuan, dan penyelesaian inovatif dalam industri SAF.

Lebih 100 pihak berkepentingan daripada sektor awam, termasuk pembuat dasar, pengawal selia, pengeluar SAF, pemain ekosistem, institusi akademik, dan orang ramai menyertai forum itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Mosti Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata kementerian melalui Bioeconomy Corp akan terus memudah cara dan mencapai kerjasama tempatan dan antarabangsa.

Menurutnya ia bertujuan mempercepat tindakan dan inovasi dalam industri di samping meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai penyedia SAF di rantau ini.

Beliau berkata Persatuan Syarikat Penerbangan Asia Pasifik memaklumkan rantau ini berkemampuan untuk menghasilkan sehingga 500 juta tan SAF menjelang 2050.

“Oleh itu, kita perlu mempercepat tindakan dan inovasi dalam industri SAF agar Malaysia dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi biojisim dan kemajuan teknologi,” katanya. 

Menurut kenyataan bersama itu, Malaysia dianggarkan menggunakan kira-kira 8,900 tan bahan api jet sehari dengan kemuncaknya pada 2019.

“Penggunaan bahan api jet ini dijangka melebihi angka ini, memandangkan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjangka jumlah penumpang penerbangan akan melebihi 100 juta pada 2024.

“Pada masa ini, pengeluaran SAF bergantung kepada minyak masak terpakai sebagai bahan mentah, dan terdapat minat yang semakin meningkat untuk menggunakan sisa buangan atau biojisim daripada industri sawit,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Kemampanan Serantau, Asia Tenggara, Boeing, Sharmine Tan menegaskan kepentingan untuk mengembangkan SAF memandangkan SAF mengurangkan pelepasan karbon sepanjang kitaran hidup sehingga 84 peratus berbanding bahan api jet konvensional.

Selain itu, katanya ia menawarkan potensi terbesar untuk pengurangan karbon dalam semua segmen penerbangan.

“Boeing komited untuk memastikan pesawat komersial kami serasi 100 peratus dengan SAF menjelang 2030 dan menganalisis peluang untuk mengembangkan pengeluaran SAF tempatan di Asia Tenggara melalui penilaian bahan mentah,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Research Sdn Bhd Norhayati Hashim berkata, Petronas komited untuk memajukan penyelidikan teknologi biodasarnya, dengan menumpukan kepada ketersediaan dan kesiapan bahan mentah untuk SAF.

“Dengan menunjukkan kekuatan bersama kami sebagai pemain industri, kerjasama akan menjadi kunci untuk mencapai aspirasi Petronas untuk mengurangkan emisi karbon kepada sifar menjelang 2050,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan