AM

MASJID SELIAAN JAKIM ADAKAN SOLAT JENAZAH GHAIB ISMAIL HANIYEH MALAM INI

01/08/2024 02:35 PM

PUTRAJAYA, 1 Ogos (Bernama) -- Masjid seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini akan mengadakan solat jenazah ghaib ke atas pemimpin Hamas Allahyarham Ismail Haniyeh, malam ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata solat jenazah ghaib untuk Haniyeh yang syahid dalam serangan di Iran semalam, akan diadakan selepas solat Maghrib.

"JAKIM menjemput orang ramai hadir beramai-ramai bagi menunaikan solat jenazah ghaib tersebut sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia terhadap perjuangan umat Islam Palestin dalam menentang kezaliman rejim Zionis Israel," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hakimah berkata JAKIM amat berdukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Haniyeh.

"Almarhum adalah seorang tokoh yang disegani dan teguh dalam perjuangan membela nasib umat Islam di Palestin.

"Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada dan golongan yang beriman dan beramal soleh," katanya.

Hamas mengumumkan awal Rabu bahawa Haniyeh yang juga Ketua Biro Politik Hamas terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di Tehran, Iran, menurut laporan media antarabangsa.

Televisyen kerajaan Iran juga melaporkan kematian Haniyeh, menyatakan bahawa siasatan ke atas pembunuhan itu sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi.

Sementara itu di IPOH, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Harith Fadzilah Abdul Halim berkata solat jenazah ghaib untuk Haniyeh yang syahid dalam serangan udara itu akan diadakan di masjid dan surau di seluruh Perak selepas solat Maghrib malam ini.

"Arahan sudah dikeluarkan kepada seluruh pegawai tadbir agama daerah termasuk pegawai penyelaras masjid daerah, untuk maklumkan kepada seluruh masjid dan surau di Perak," katanya ketika dihubungi hari ini. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan