AM

SISTEM E-PEMFAILAN TAGS DIJANGKA BEROPERASI PADA 2025 - NORAINI

01/08/2024 12:42 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Sistem e-pemfailan mangsa gangguan seksual kepada Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka mula beroperasi tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sistem itu akan memudahkan mangsa gangguan seksual di seluruh negara memfailkan aduan kepada TAGS secara dalam talian, mengambil kira kekangan geografi di Sabah dan Sarawak.

"Tribunal ini boleh bersidang pada bila-bila hari, masa dan tempat, sebagaimana ditentukan presiden (tribunal) dan Kementerian turut melantik ahli tribunal dari Sabah dan Sarawak. Sekiranya ada aduan di negeri-negeri di Pantai Timur, Tribunal ini boleh bersidang di sana," katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Anna Bell yang ingin tahu pertimbangan kementerian untuk menubuhkan TAGS di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pendengaran kes-kes di dua negeri itu yang berhadapan dengan cabaran geografi.

Menjawab soalan Senator Datuk Dr Arman Azha Abu Hanifah yang ingin tahu statistik gangguan seksual dan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia, Noraini berkata sehingga Julai 2024, sebanyak lima aduan gangguan seksual telah diterima TAGS sejak ia diwujudkan pada 8 Mac lepas.

"Statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes yang dilaporkan bagi Kesalahan di bawah Seksyen 292, 354, 377D, 507A dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu merujuk kepada kes gangguan seksual adalah 1,483 kes pada 2021, 1,455 kes pada 2022, dan 1,621 kes pada tahun 2023.

"Bagi kes gangguan seksual melibatkan lelaki dilaporkan dari tahun 2019 hingga 2023 adalah 484 mangsa iaitu 6.3 peratus bagi keseluruhan kes bagi tahun yang sama," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan