DUNIA

4 MAUT, 34 CEDERA DALAM INSIDEN LETUPAN KETIKA PROTES DI NIGERIA

02/08/2024 11:01 AM

ABUJA, 2 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan 34 yang lain cedera selepas letupan menggegarkan lokasi protes kos sara hidup di negeri Borno, timur laut Nigeria pada Khamis, kata polis.

Bercakap kepada media di sini lewat Khamis, Ketua Polis Negara Kayode Egbetokun berkata letupan itu berlaku di Maiduguri, bandar utama Borno semasa protes yang tercetus di seluruh negara.

Egbetokun berkata polis meramalkan penyusupan 'unsur tidak bertanggungjawab' ke tempat protes di seluruh Nigeria, membuktikan kebenaran kepada laporan awal dan amaran oleh agensi keselamatan yang memberi amaran kepada rakyat tentang bahaya yang bakal berlaku semasa demonstrasi di seluruh negara.

Protes secara aman oleh golongan belia yang bermula pada Khamis bertujuan untuk menggesa kerajaan menangani kesukaran ekonomi di tengah-tengah krisis kos sara hidup yang serius di negara paling ramai penduduk di Afrika.

Bagaimanapun, demonstrasi itu bertukar ganas di beberapa bandar utama.

Egbetokun berkata kemusnahan berlaku di lapan daripada 36 negeri di Nigeria pada hari pertama demonstrasi, mempersoalkan motif sebenar kumpulan penunjuk perasaan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan