AM

RAKYAT PULAU PINANG DISERU KIBAR JALUR GEMILANG

02/08/2024 12:55 PM

BUTTERWORTH, 2 Ogos (Bernama) -- Rakyat Pulau Pinang diseru mengibarkan Jalur Gemilang di tempat kediaman, tempat kerja, tempat beriadah serta di mana-mana ruang awam di negeri tersebut bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ini bagi menunjukkan bahawa rakyat negeri Pulau Mutiara turut memberikan sokongan kepada sambutan yang amat bermakna itu sempena ulang tahun kemerdekaan ke-67 tahun negara.

"Sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar rutin, malah ia merupakan peristiwa penting untuk mengukuhkan semangat kebangsaan, memupuk perpaduan dan menghargai nilai-nilai kebebasan serta kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pendahulu kita. 

"Ia memberi kita peluang untuk merenung kembali perjalanan negara kita, dari masa lampau yang gemilang hingga masa depan yang kita bina bersama,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di Dewan Konvensyen Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya dekat sini hari ini.

Pada 21 Julai lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya dengan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Mengulas lanjut, Chow menyifatkan tema tersebut sebagai menzahirkan kebebasan rakyat dalam menginterpretasikan semangat patriotik menerusi aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi yang seterusnya membentuk kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni serta progresif selari dengan inti pati Malaysia MADANI.

“Bak kata pepatah, ‘bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’, kata-kata azimat tersebut sudah cukup sempurna menggambarkan betapa kita semua perlu bersatu hati demi menjaga keharmonian serta memastikan pembangunan yang seimbang dan mampan dapat sentiasa dicapai. 

“Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita wajib menolak fahaman ekstrem yang boleh memecahbelahkan masyarakat. Kita harus berpegang teguh kepada prinsip bertolak-ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Pulau Pinang akan disusuli dengan Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Padang Kota Lama pada 31 Ogos dan Sambutan Hari Malaysia di Dewan Millenium, Kepala Batas pada 16 Sept. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan