AM

ADUN MAHKOTA SHARIFAH AZIZAH MENINGGAL DUNIA

02/08/2024 02:03 PM

JOHOR BAHRU, 2 Ogos (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan perkara berkenaan dalam hantaran di laman Facebooknya.

"Saya berasa amat sedih apabila menerima perkhabaran duka tentang pemergian‎ ADUN Mahkota Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

"Pemergian Sharifah Azizah atau lebih mesra dengan panggilan Ummi amat dirasai kerana beliau merupakan seorang pemimpin yang senang didekati dan disayangi. Jasa dan bakti beliau untuk negeri Johor, khususnya DUN Mahkota tidak akan dilupakan," katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Sharifah Azizah dan mendoakan roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Jenazah akan dimandi dan dikafankan di hospital berkenaan selepas solat Jumaat sebelum dibawa balik untuk penghormatan terakhir di kediaman beliau, No.3 Jalan Ahmad Khan, Kluang.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira 20 minit di hospital itu bertemu ahli keluarga Sharifah Azizah.

“Kita doakan semoga Allah permudahkan urusan dan sebaik-baiknya diberikan kesembuhan. Namun jika sebaliknya berlaku, kita sama-sama berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” katanya yang juga Presiden UMNO kepada pemberita di Kluang.

Media sebelum ini melaporkan Ketua Wanita UMNO Kluang itu dimasukkan ke hospital berkenaan akibat mengalami sesak nafas, pada awal pagi Selasa.

Pada Pilihan Raya Negeri 2022, Sharifah Azizah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO Johor memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan majoriti 5,166 undi menewaskan calon Pakatan Harapan Muhammad Taqiuddin Cheman, Mohamad Nor Lingan (Perikatan Nasional) dan Mohamed Noor Suleiman (Warisan).

Anak jati Kluang itu juga pernah menyandang kerusi DUN Penawar pada 2018 hingga 2022.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan