AM

PROGRAM MADANI RAKYAT ZON SELATAN DARI 15-17 OGOS

02/08/2024 05:41 PM

PUTRAJAYA, 2 Ogos (Bernama) -- Pelbagai acara menarik berkaitan ‘Setahun Ekonomi MADANI’ bakal mewarnai Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dan Setahun Ekonomi MADANI yang dijadual berlangsung di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dari 15 hingga 17 Ogos ini.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor. 

Sekretariat Program MADANI Rakyat dalam kenyataan hari ini memaklumkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar Ekonomi MADANI serta komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri sejak setahun dilancarkan. 

Menurut sekretariat itu, platform berkenaan merupakan ruang untuk kerajaan memaklumkan pencapaian dan manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui inisiatif seperti Sumbangan Asas Rahmah, bantuan awal persekolahan, perkhidmatan pembiayaan mikro, skim jaminan kredit perumahan dan pencapaian Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Turut diketengahkan pada program kali ini ialah aktiviti berkaitan kesejahteraan rakyat, agenda perpaduan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta karnival kerjaya.

“Aktiviti lain termasuk pelancongan, pertanian dan keterjaminan makanan, kesejahteraan luar bandar serta pameran dan perkhidmatan berhubung pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan kecerdasan buatan (AI) serta pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh agensi kerajaan Persekutuan dan negeri termasuk pameran aset-aset kerajaan.

"Selain itu, Jualan MADANI menawarkan potongan harga dan tawaran istimewa bagi barangan keperluan harian turut disediakan untuk pengunjung,” menurut sekretariat itu. 

Majlis penutupan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dan Setahun Ekonomi MADANI dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Ogos.

Orang ramai dijemput memeriahkan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan dan Setahun Ekonomi MADANI bermula 9 pagi hingga 10 malam pada 15 dan 16 Ogos, manakala 9 pagi hingga 6 petang pada 17 Ogos.

Program MADANI Rakyat merupakan kesinambungan kepada Program Setahun bersama Kerajaan MADANI yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Disember 2023. Program itu diperluas ke peringkat negeri mengikut zon bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami dan menilai dasar serta inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI. 

Program MADANI Rakyat 2024 telah dimulakan di Zon Tengah dari 23 hingga 25 Feb lepas di Kompleks Sukan Kuala Selangor, Selangor melalui kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan Selangor. 

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara pula telah berlangsung dari 3 hingga 5 Mei di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang dengan kerjasama strategik antara kerajaan Pulau Pinang dan Kementerian Pengangkutan. 

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama-sama kerajaan Pahang pula telah menjayakan Program MADANI Rakyat 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan, Pahang dari 5 hingga 7 Julai lepas.

-- BERNAMA=

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan