AM

ANWAR, SRETTHA LAWAT RANTAU PANJANG DAN SUNGAI GOLOK HARI INI

03/08/2024 09:11 AM

KOTA BHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Thailand Srettha Thavisin akan mengadakan lawatan kerja ke Rantau Panjang, Kelantan dan Sungai Golok, Narathiwat, Thailand hari ini. 

Tujuan utama lawatan itu adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.

Thailand dijangka memulakan projek pembinaan jambatan kedua dikenali sebagai Jambatan Kembar di Rantau Panjang-Sungai Golok itu pada April tahun depan.

Jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok akan mempunyai enam lorong bagi memudahkan pergerakan keluar masuk kenderaan antara Malaysia dan Thailand.

Selain itu, Anwar dan Srettha juga dijangka mengadakan perbincangan mengenai isu dua hala, termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand, inisiatif kesalinghubungan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara dan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.

Lawatan Anwar dan Srettha hari ini adalah susulan pertemuan bersama di Sadao, Thailand pada November lepas yang mempamerkan komitmen kedua-dua negara untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.

Lawatan Anwar disertai Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Nik Nazmi Nik Ahmad.

Srettha pada 30 Julai lepas, memaklumkan lawatan beliau ke wilayah selatan Thailand hari ini antara lain akan disertai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan