AM

KUP 2024: PKNS HIMPUNKAN 168 USAHAWAN MUDA BERI PENDEDAHAN DUNIA PERNIAGAAN

03/08/2024 03:49 PM

SHAH ALAM, 3 Julai (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menghimpunkan seramai 168 usahawan muda di bawah program pembangunan keusahawanan menerusi penganjuran Karnival Usahawan (KUP) 2024 bertempat di Kompleks PKNS di sini sebagai pendedahan terhadap dunia perniagaan. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS Ir Md Kamarzan Md Rais berkata penganjuran karnival itu juga antara lain bertujuan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan usahawan muda yang terlibat sekali gus membina keyakinan mereka ketika bertemu pelanggan. 

“Dengan menggunakan pendekatan simulasi pelaksanaan perniagaan sebenar, PKNS dapat membantu usahawan ini mengasah kemahiran dan pengetahuan diperlukan untuk berjaya dalam dunia perniagaan yang kompetitif.

“Ini juga membantu dalam memastikan budaya keusahawanan terus berkembang dalam kalangan usahawan,” katanya ketika merasmikan KUP 2024 di Kompleks PKNS di sini hari ini. 

Beliau turut berharap usahawan muda yang terlibat tidak melepaskan peluang untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman dan pandangan yang diterima ketika berinteraksi dengan pelanggan secara langsung. 

“Dapatkan seberapa banyak input, pengalaman, peluang serta pandangan yang boleh dimanfaatkan dalam membantu membangunkan perniagaan anda pada masa hadapan,” katanya. 

Karnival itu yang berakhir esok melibatkan sebanyak 118 reruai jualan dan pameran membabitkan usahawan muda termasuk pelajar sekolah daripada empat program keusahawanan bermodul iaitu Program Tunas Niaga (PROTUNe), Program Bina Bangun Usahawan (BIZUP), Program Usahawan Siswazah (GROW) dan Program Usahawan Siswazah Lanjutan (GROW PLUS).

Lebih istimewa karnival berkenaan turut menyediakan reruai Klinik Usahawan Selangor untuk usahawan dan pengunjung mendapatkan nasihat dan bimbingan keusahawanan daripada kaunselor keusahawanan PKNS bagi mendapatkan pencerahan atau mengenal pasti masalah dihadapi perniagaan masing-masing. 

Antara pengisian lain adalah aktiviti pentas, fesyen fiesta, pertandingan dan demonstrasi daripada usahawan, Happy Hour PROTUNe, BIZUP, GROW dan GROW Plus, kaunter informasi BPU serta pameran jualan hartanah PKNS.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan