AM

PRK NENGGIRI: SPR TUBUH DUA PASUKAN PENGUAT KUASA KEMPEN PILIHAN RAYA

03/08/2024 04:24 PM

GUA MUSANG, 3 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya bagi memantau aktiviti calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun mengingatkan calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Ia termasuk bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakili mereka.

“Semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja serta tidak melanggar Akta 5 dan undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Sementara itu, tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 16 Ogos.

Ramlan berkata SPR berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni dengan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

PRK Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, susulan bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan Ke-15 tahun lepas, Mohd Azizi yang bertanding menggunakan logo PAS menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan