AM

MALAYSIA KOMITED BANTU SEGERAKAN PROSES DIALOG DAMAI DI SELATAN THAILAND - PM ANWAR

03/08/2024 05:17 PM

PASIR MAS, 3 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian bahawa kerajaan Malaysia mahu membantu menyegerakan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.

Beliau berkata Malaysia akan memberi komitmen apa sahaja yang diperlukan Thailand sama ada dari segi ekonomi, keselamatan dan pendidikan.

"Isu rundingan damai Selatan Thailand bukan isu Malaysia, sebaliknya isu domestik Thailand. Hubungan baik Malaysia dan Thailand menyebabkan mereka meminta kerjasama kita.

"Cadangan itu kita serahkan kepada Thailand, kita hanya fasilitator maknanya kita hanya pemangkin tetapi yang penting di sini ialah pimpinan kerajaan Thailand dan Malaysia mahu membantu menyegerakan proses damai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas di sini hari ini, bersempena dengan lawatan kerja beliau ke Rantau Panjang dan Sungai Golok yang turut melibatkan pertemuan dengan rakan sejawat dari Thailand Srettha Thavisin.

Malaysia merupakan fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun yang memuncak pada Januari 2004 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai di Selatan Thailand yang baharu, berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Rundingan antara kerajaan dan pemberontak bermula pada 2013 tetapi terhenti berikutan rampasan kuasa tentera di Thailand setahun kemudian. Rundingan diteruskan tanpa membabitkan parti utama termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN). 

Pada 22 Feb tahun lepas, Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP) dan BRN telah sepakat membentuk Pelan Komprehensif Kerjasama ke Arah Pendamaian (JCPP) sebagai pelan hala tuju untuk 2023–2024 demi mencari penyelesaian ke arah menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan