AM

SARAWAK AKAN WUJUDKAN MAKMAL SELARAS SUMBER, INISIATIF HPV

03/08/2024 08:19 PM

KUCHING, 3 Ogos (Bernama) -- Sarawak akan mewujudkan sebuah makmal untuk memperkemas serta menyelaras semua inisiatif saringan dan vaksinasi papilomavirus manusia (HPV) serta sumber untuk membasmi kanser serviks menjelang 2030.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) akan menyelia pelaksanaan program berkaitan HPV terutama menyasarkan kawasan luar bandar bagi memastikan liputan menyeluruh di seluruh negeri.

“Semasa COVID-19, kami memperoleh beberapa mesin tidak balas rantai  polimerase (PCR) yang kini kurang digunakan. Jadi, kita gunakan semula untuk saringan HPV ... itulah yang saya maksudkan dengan menyelaraskan.

"Kami namakan ia makmal atau bengkel kerana kami hanya mahu fokus kanser serviks dahulu kerana ia satu-satunya kanser yang boleh dibasmi, bermakna kami boleh melakar sejarah dalam membasmi kanser serviks," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Saringan HPV 'Leaving No One' di sini hari ini.

Berdasarkan laporan, Sarawak mencatatkan kes kanser serviks tertinggi di Malaysia dengan nisbah 12.1 bagi setiap 100,000 penduduk sekali gus mengatasi kadar negara iaitu 10.2 bagi setiap 100,000 penduduk, seperti yang dianggarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Di Malaysia, kanser serviks ialah kanser ketiga paling banyak dihidapi wanita, manakala di Sarawak kanser ini yang kedua paling kerap dihidapi. 

Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak berkata  makmal baharu itu membolehkan penyelarasan yang lebih baik dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi terlibat dalam memerangi kanser serviks.

Beliau berkata ini akan memudahkan pemantauan yang lebih berkesan terhadap semua program HPV yang dilaksanakan di seluruh negeri.

“Kami mahu mengelak program saringan dan vaksin HPV hanya tertumpu di Kuching atau Bintulu. Kita tidak mahu hanya membina hospital kanser sebaliknya kami mahu menghapuskannya, jadi berbaloi untuk melabur," katanya.

Program hasil kerjasama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) dan Yayasan ROSE itu menyasarkan 10,000 wanita berusia 30 hingga 65 tahun daripada komuniti luar bandar dan kurang bernasib baik terutama di Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan