AM

KEMBARA SAINS BORNEO: PSN KONGSI KAEDAH PDP SAINS BUKAN FORMAL

03/08/2024 08:19 PM

LAHAD DATU, 3 Ogos (Bernama) -- Kembara Sains Borneo 2024 yang diadakan di sini diteruskan dengan pengisian program bersama pendidik membabitkan modul aktiviti pembelajaran kanak-kanak prasekolah.  

Pengarah Pusat Sains Negara (PSN) Mohammad Fuad Rahman berkata program berkenaan anjuran  Open University Malaysia Lahad Datu dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Lahad Datu.

Fuad berkata melalui program inovasi pendidik itu, PSN berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) sains bukan formal dengan aktiviti interaktif di bilik darjah.

"Objektif program ini mendedahkan kaedah penyampaian guru sains dan matematik melalui pendekatan pembelajaran sains bukan formal.

"Pada masa sama mendedahkan pendidik kepada kaedah penyampaian sains dan matematik secara hands-on, hearts-on dan minds-on," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohammad Fuad berkata objektif lain program berkenaan adalah bagi meningkatkan usaha menarik minat murni dalam pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Beliau berkata melalui program itu, pendidik boleh mengaplikasikan kaedah yang dikongsikan PSN dalam sesi PdP sekali gus meningkatkan penglibatan murid dalam aktiviti bilik darjah.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan