AM

15 MANGSA BANJIR DI MUALLIM DITEMPATKAN DI DUA PPS

04/08/2024 05:28 PM

IPOH, 4 Ogos (Bernama) -- Seramai 15 mangsa banjir di Muallim dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah itu berikutan hujan berterusan pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan 10 mangsa membabitkan tiga keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Tanjong Malim melibatkan penduduk di Kampung Ketoyong.

Beberapa lagi mangsa berlindung di PPS Dewan Kampung Pauh, Behrang Stesen melibatkan penduduk di kawasan Kampung Sri Behrang, Kampung Lambak dan Kampung Kelawar.

“Pemantauan terus dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi berikutan hujan lebat masih melanda di lokasi berisiko,” menurut sekreteriat itu dalam kenyataan hari ini.

Paras air sungai di 19 lokasi berisiko sekitar daerah Kinta, Larut Matang dan Selama, Kerian, Hulu Perak, Kampar, Kerian, Kuala Kangsar, Muallim, Perak Tengah serta Bagan Datuk masih normal.

“Semua lokasi berisiko itu melibatkan bacaan paras air di Sungai Perak, Sungai Kurau, Sungai Kerian dan Sungai Bernam,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, hujan berterusan lebih lima jam menyebabkan 18 rumah di Mukim Hulu Bernam Timur dekat Behrang dilanda banjir.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan