AM

MANGSA BANJIR DI MUALLIM MENURUN KEPADA 56 ORANG PAGI INI, SATU PPS DITUTUP

05/08/2024 10:49 AM

IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Muallim menurun kepada 56 orang daripada 13 keluarga pagi ini, berbanding 165 orang daripada 32 keluarga malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak memaklumkan kesemua mangsa berkenaan berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, Tanjong Malim. PPS Dewan Kampung Pauh Behrang Stesen telah ditutup pagi ini.

Mangsa yang berlindung di PPS SMK Khir Johari itu adalah dari Kampung Ketoyong, Kampung Leonardo, Kampung Berop dan Kampung Kelawar.

Sementara itu, sekretariat itu memaklumkan cuaca di kawasan tersebut baik setakat pagi ini.

Di Selangor, sebanyak 113 mangsa banjir di Hulu Bernam masih berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah selepas penempatan mereka dinaiki air, semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata tinjauan pagi ini mendapati paras air di enam buah kampung terlibat di kawasan Hulu Selangor, semakin surut.

"Keadaan cuaca yang baik hari ini membantu air surut dengan lebih cepat dan banjir juga terkawal," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, banjir menjejaskan penduduk di Kampung Sungai Selisik, Kampung Serigala, Kampung Sungai Nilam, Kampung Sekolah, Kampung Masjid dan Kampung Paya Lebar apabila kediaman penduduk dinaiki air.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan