AM

PESERTA CILIK KAROM TIDAK GENTAR BERDEPAN PESAING LEBIH BERUSIA

05/08/2024 11:44 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Kecil-kecil cili padi. Itulah Muhammad Adib Farhan Mohd Fadhli, peserta termuda Kejohanan Karom Terbuka Kelantan yang tidak gentar berdepan pesaing lebih berusia.

Baru berumur sembilan tahun, murid Sekolah Kebangsaan Kedondong, Pasir Mas itu mula bermain karom dua tahun lepas. 

Bercerita mengenai penglibatannya dalam permainan itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata pada awalnya dia bermain sekadar suka-suka dan tidak menyangka mampu menyertai pertandingan bukan sahaja dalam negeri bahkan di Kuala Lumpur, Melaka dan Terengganu.

“Sejak berumur tujuh tahun, saya sering kali mengikuti jiran saya Mohd Fahmi Fauzi, 31, bermain karom secara suka-suka di kedai kopi berdekatan rumah di Kampung Gelong Gajah, Pasir Mas sebelum beliau mengesan potensi saya dalam permainan ini walaupun usia saya masih muda. 

“Saya mula bermain secara serius dan menyertai pelbagai pertandingan termasuk menjadi peserta termuda selain pernah meraih juara menerusi Kejohanan Karom Beregu Tertutup Kelantan 2024 yang diadakan pada awal bulan lepas, membawa pulang wang tunai RM1,000,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Muhammad Adib Farhan berkata bapa, Mohd Fadhli Abdullah, 43, dan ibunya Siti Azrin Abdullah, 35, serta guru-guru dari SK Kedondong menyokong penglibatannya dalam karom dengan syarat dia tahu membahagikan masa dengan baik.

“Alatan permainan korum dibeli oleh bapa saya selain striker yang digunakan untuk bermain dihasilkan sendiri oleh bapa saya, kebiasaannya saya akan mengambil masa sekitar satu hingga dua jam untuk bermain karom di sebelah petang.

“Setiap kali berlatih untuk menyertai pertandingan saya akan berlatih secara lebih fokus dengan Mohd Fahmi selain menyertai latihan yang diadakan oleh Kelab Karom Datuk Zul Wisma secara percuma sebanyak empat kali sebulan, bagi memantapkan kemahiran selain strategi-strategi yang diperlukan untuk menewaskan pihak lawan,” katanya.

Menurutnya, karom bukan sekadar permainan malah mampu meningkatkan daya fokus serta keyakinan diri iaitu dia kini semakin berani berdepan masyarakat terutamanya orang dewasa. 

“Jika dahulu, saya seorang pendiam namun selepas menceburkan diri dalam permainan ini keyakinan diri saya meningkat apabila berada di pentas sama dengan pihak lawan,” katanya yang berharap mampu melebarkan sayap dalam permainan ini dengan lebih meluas selain bercita-cita untuk beraksi pada peringkat nasional.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan