AM

GANGGUAN BEKALAN AIR DI EMPAT JAJAHAN DI KELANTAN DIJANGKA PULIH JUMAAT INI

05/08/2024 11:38 AM

KOTA BHARU, 5 Ogos (Bernama) -- Gangguan bekalan air di empat jajahan di Kelantan iaitu Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Timur, Machang dan Pasir Puteh yang menjejaskan lebih 33,000 pengguna sejak semalam, dijangka hanya akan kembali pulih Jumaat ini.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam kenyataan hari ini menyebut bekalan air di kawasan itu terjejas berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong di Machang terpaksa dihenti tugas disebabkan paip air mentah yang bergaris pusat 1,100 milimiter telah pecah.

Kesan henti tugas LRA itu menyebabkan berlakunya pengurangan dan kehilangan bekalan air terawat hampir 70 peratus di LRA Merbau Chondong bersamaan 47 juta liter sehari.

“Kerja-kerja penggalian dan pembaikan telah dimulakan semalam dan dijangka siap pada 9 Ogos ini, namun AKSB telah menggerakkan aset-aset lori tangki sebanyak lima buah serta enam lori air kontrak untuk membantu pengguna terjejas,” menurut kenyataan itu.

AKSB memaklumkan operator air negeri-negeri lain juga telah memberikan komitmen untuk menghulurkan bantuan penghantaran lori tangki ke kawasan terjejas dalam masa terdekat.

“Dalam pada itu, tangki-tangki statik bersaiz 500 hingga 1,500 gelen turut ditempatkan di kawasan  tumpuan bagi meringankan beban pengguna yang terkesan.

AKSB akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi itu dari semasa ke semasa di laman sesawang www.airkelantan.com.my, aplikasi MyAKSB, Facebook, Instagram atau pengguna boleh menghubungi PINTAS di talian 15777.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan